Esok Ujian?
Apabila saya baca berita tentang UPSR beberapa hari lepas, saya teringat satu catatan tentang kenangan saya di sekolah rendah. Ingatan ini membuatkan saya merasa terharu dengan guru-guru yang pernah mengajar saya.

MENGENALI DIRI

Saya ingin bertanya kepada anda, adakah anda masih ingat pengalaman atau perasaan ketika menduduki dan mendapatkan keputusan UPSR?

Saya pernah menduduki UPSR. Anehnya saya tidak pernah dapat memanggil kenangan bagaimanakah perasaan saya ketika menduduki mahupun mendapatkan keputusan UPSR. Adakah saya lupa?

Saya akui zaman kanak-kanak saya tidaklah begitu indah tetapi ia tidak bermakna ceritanya hambar tanpa ada makna kehidupan.

Jika dibandingkan ketika saat mengambil keputusan PMR, SPM dan yang lain-lainnya, semuanya lansung boleh saya gambar dan ceritakan sebagai satu perkongsian. Pernah saya memikirkannya secara serius lalu saya ketemukan beberapa cebis ingatan ketika di sekolah rendah untuk dikongsikan bersama anda.

BERKONGSI ITU MEMBERI

Pertama, saya hadir ke sekolah semata-mata kerana semua kanak-kanak lain berbuat demikian. Sedangkan saya tidak pernah dimarah jika tidak ke sekolah. Di rumah tidak ada kawan, baik ke sekolah!

Kedua, saya lebih takut ‘mendapatkan’ kuiz daripada ujian. Kuiz; murid yang mendapat paling banyak betul, akan mendapat hadiah dan jika banyak salah akan dirotan! Tetapi jika ujian?

Ketiga, saya pernah marah kepada guru saya jika saya tidak naik ke atas pentas dan menerima hadiah! Inilah ingatan saya yang paling lucu.

Keempat, ketika berada di darjah lima dan enam, saya aktif mewakili sekolah. Antaranya adalah pertandingan bercerita, pidato, hafazan surah-surah lazim, bola tampar, badminton, nasyid, dan teka silang kata.

Kelima, saya paling tunggu hari mendapatkan air kotak percuma ‘Mat Pintar’. Saya seringkali menawarkan diri membantu guru dan meminta upah air kotak tersebut.

Keenam, hari sukan adalah hari paling saya tidak suka. Terutama perbarisan dan dipaksa menyertai  beberapa pertandingan mewakili rumah sukan.

Ketujuh, apabila ke sekolah, saya kebiasaannya membawa bekal dari rumah manakala duit belanja akan saya habiskan untuk makanan ringan. Menabung? Rasanya tidak pernah.

Kelapan, antara subjek paling saya ingat dan minat adalah Kemahiran Hidup dan Sains. Saya amat benci cikgu subjek Matematik (kerana selalu merotan dan menarik telinga).

Kesembilan, saya dan murid-murid yang lain tidak faham makna perkataan cuti. Maka seringkali guru akan membuat pengumuman ;
“Esok tak payah datang ke sekolah. Sekolah tutup!”
Walaupun cuti, kami tetap datang ke sekolah. Kami berkumpul dan bermain.

Kesepuluh, saya masih ingat lagi dua nasihat paling kerap guru-guru saya berikan iaitu:
"Belajarlah sampai ke menara gading"
"Bila dah besar, jangan lupa ibu dan bapa"
Nasihat tersebut masih lagi terngiang-ngiang ditelinga ini.

Baru saya tahu, rupa-rupanya ujian akhir tahun tidak pernah menjadi kenangan besar kepada diri saya termasuklah UPSR ketika di sekolah rendah. 

Namun ada satu kenangan yang saya rasa mungkin bersangkutan dengan perihal ujian dan ia amat menggembirakan kami murid-murid sekolah kampung  suatu ketika dahulu.

“Esok ke kelas tak payah bawak buku ape pun. Bawa pensil, pemadam dan pembaris saja. Faham?” pesan guru kelas kami.
“Cikgu! Buku tulis tak payah bawak jugak?” 
“Tak payah!”
“Buku teks?”
“Tak payah!”
“Botol air?”
“Tak payah!”
"Yeeeaa!!!"

Kami bersorak gembira mendengarnya kerana tidak perlu mengendong beg berat yang sarat dengan buku teks.

Maka ketika hari ujian menjelma, saya lalui seperti mana hari-hari sebelumnya. Begitulah enam tahun kenangan saya ketika di bangku sekolah rendah.

Anda bagaimana? Adakah ketika UPSR anda telah mengerti dan peduli akan UPSR?

16 TAHUN KEMUDIAN!

Kehidupan penuh kenangan saya bermula ketika berada di sekolah menengah. Barangkali ketika itu dunia membuka mata dan hati saya. Alhamdulillah, sepuluh tahun kemudian doa dan harapan semua guru saya membawa saya menjejak kaki ke menara gading.

Semua ujian yang saya tempuhi amat bermakna buat diri. Tidak lagi saya lalui sama seperti hari-hari leka saya. Sentiasa berusaha dan melakukan yang terbaik.

Segala puji bagi Allah, yang Maha Besar lagi yang Maha Berkuasa. Saya tidak punya daya, jika Allah tidak mengizinkannya. Saya pernah nukilkan pada entri terdahulu, kadang-kadang musibah boleh bertukar menjadi peluang.

Buat adik-adik tahun enam tahun 2011, tahniah dan syabas diucapkan di atas kejayaan yang diperolehi dalam UPSR.

Sekalung penghargaan dan apresiasi  saya ucapkan buat para pendidik di atas penat lelah yang telah dicurahkan. Saya doakan moga Allah kurniakan rahmat ke atas usaha anda semua.

KESIMPULAN

Dahulu mereka pernah rotan tangan saya, tarik telinga saya, suruh saya berdiri atas meja, ketuk ketampi, dan berlari keliling padang. Ketika itu, saya marah, mencemuh dan melabelkan mereka zalim kepada saya. Tetapi sekarang, saya tersenyum, mengucap syukur dan menganggap ia satu pengajaran.

Dunia berubah. Manusia juga. Pendidikan berubah. Manusia mengikutnya.

Perubahan itu bukan pilihan tetapi suatu kemestian. Langkah pertama itu seringkali paling susah kerana percayalah,
"Jika hari ini kita jatuh kerana baru belajar berjalan, esok kita sudah bertekad mahu berlari."
Sekali lagi saya zahirkan,

TERIMA KASIH GURU-GURUKU!

Wallahu’alam...


Kritikanmu, Pujian untukku!

2 Responses so far.

  1. wantutri says:

    wah, lainnya pengalaman sekolah abg nasir dgn ana. 

    Hehe, tapi pernah juga kena rotan dengn cikgu, kemudian nangis. Bukan sebab sakit, tapi ana malu kerana dirotan, walaupun satu kelas kena,ana tetap nangis.

    Sebab malu dirotan.

    Alhamdulillah, rotan itu ber"bekas" supaya kenangan tak luput.

  2. Asrar Qulub AQ says:

    Bila wan ckp mcm tu rasa nak balik kampung pulak... C=

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=