Berhati-hati apabila berkata-kata
Asalnya saya hendak lontarkan soalan begini:
Apakah benda yang lebih tajam daripada keris?”
Namun saya lebih suka perkataan ‘paling’ digunakan bersama kata adjektif sifat ‘tajam’ untuk menunjukkan satu perbandingan yang lebih kuat berbanding perkataan ’lebih’.

Jadi, apakah ‘perkara’ atau ‘benda’ yang saya maksudkan? Tahukah anda bahawa perkara yang paling tajam adalah ‘kata-kata’ dan benda yang paling tajam bukanlah berlian mahupun keris tetapi ‘lidah’ kita!

Ada tiga perkara yang tidak boleh dijadikan bahan gurauan, yakni digunakan dalam perbualan harian walaupun tanpa sengaja. 
Seorang hamba menjadi merdeka tatkala tuannya melafazkan
 “Aku bebaskan engkau!”
 Seorang muslim itu murtad pada saat itu juga walau dengan berkata
 “ Masuk je 2013 aku masuk Hindu! Hahaha!”
 Talak jatuh ke atas si isteri walaupun si suami hanya membaca skrip di depan isterinya!
Beringatlah! Perihal merdeka (hamba), murtad dan talak akan jatuh maknanya apabila dilafazkan walaupun tanpa niat! Berpada-padalah dengan kata-kata yang kita ucapkan.

Benar kata-kata Rasulullah SAW yang mafhumnya:
"Sesungguhnya ada seorang hamba benar-benar berbicara dengan satu kalimat yang termasuk keridhaan Allah, dia tidak menganggapnya penting; dengan sebab satu kalimat itu Allah menaikkannya beberapa derajat. Dan sesungguhnya ada seorang hamba benar-benar berbicara dengan satu kalimat yang termasuk kemurkaan Allah, dia tidak menganggapnya penting; dengan sebab satu kalimat itu dia terjungkal di dalam neraka Jahannam".  (HR al-Bukhari, # 6478)
Di antara nikmat Allah yang terbesar setelah nikmat Iman dan Islam adalah nikmat berbicara dengan lidah, nikmat kemampuan menjelaskan isi hati dan kehendak.

Allah Ta`ala berfirman mafhumnya:
"Allah yang Maha pemurah. Yang telah mengajarkan Al-Qur`aan. Dia menciptakan manusia. Mengajarnya pandai berbicara" [Ar-Rahman/55:1-4]
Lidah itu cabangnya dua. Kata-kata daripadanya boleh mendatangkan kegembiraan dan boleh membangkitkan kemarahan. Orang yang bijak tidak perlu sentiasa bercakap, kerana diam itu jalan yang lebih damai dan selamat.

Maka apakah pilihan yang anda buat? Saya telah membuat pilihan dan saya jadikan ia sebagai seni dalam percakapan:

Diam ku berfikir; bicaraku berzikir.

Kritikanmu, Pujian untukku!

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=