Showing posts with label Hidayah Allah. Show all posts
Showing posts with label Hidayah Allah. Show all posts

MAT pun berazam untuk memperbaiki dirinya. Mulai detik itu, Mat mula menunaikan solat. Hari itu sahaja, lima bilah paku telah dicabut oleh ayahnya dari tiang. Besoknya selain daripada solat fardhu, Mat tambah dengan amalan sunat, lebih banyak lagi paku dicabut oleh ayahnya dari tiang tersebut.

Hari berikutnya Mat tinggalkan sisa-sisa maksiat yang melekat, maka semakin banyaklah lagi paku yang dicabut oleh ayahnya. Hari demi hari, semakin banyak kebaikkan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang Mat tinggalkan, sehingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku sahaja yang melekat pada tiang tersebut. Maka ayahnya pun memanggil anaknya lalu berkata:

“Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang. Tidakkah engkau merasa gembira?” kata ayahnya lagak seperti seorang ilmuan.

Mat menenung kesal pada tiang tersebut, daripada melahirkan rasa gembira sebagaimana yang ayahnya harapkan, Mat mula menangis teresak-esak.

“Kenapa anakku?” Tanya ayahnya gusar.

“Aku menyangkakan tentunya engkau gembira melihat semua paku-paku ini telah tiada.” Sambung ayahnya cukup kehairanan.

Dalam nada yang sayu Mat bersuara, “Wahai ayahku, sungguh benar kata-katamu bahawa paku-paku itu telah tiada, tetapi aku berasa sedih kerana ‘parut-parut’ lubang daripada paku-paku itu masih kekal ditiang bersama dengan karatnya.”

Bapa Mat mengalirkan air mata tatkala mendengar jawapan daripada Mat. Dia tidak menyangka bahawa Mat boleh berfikirsn sedemikian rupa.

Rakan-rakan yang dimuliakan, dengan dosa-dosa dan kemungkaran yang sering kita lakukan berulangkali sehinggalah menjadi satu kebiasaan, kita mungkin mampu mengubahnya, atau beransur-ansur menghapuskannya, tetapi ingatlah bahawa parut-parutnya tetap ada.
itu, apabila kita menyedari diri ini melakukan kemungkaran, maka kita telah benamkan sebilah paku yang akan meninggalkan parut pada jiwa kita, walaupun kemudiannya kita berjaya mencabutnya.

Bayangkanlah jika kita biarkan paku itu berkarat di dalam diri kita sebelum dicabut. Paku berkarat agak sukar dicabut, jika berjaya dicabut pasti meninggalkan lubang bersama karatnya.

Jangan pula kita biarkannya berkarat dan tidak dicabut-cabut!

Wallahu’alam

KETIDAKPASTIAN YANG TIDAK DISENGAJAKAN
Menanti sebuah malam.

Menanti atau mencari dan memburunya?

Lailatul Qadar adalah malam yang pasti datang. Jika menantinya itu hanya dengan sekadar berjaga malam, maka orang-orang yang bersekang mata tanpa berbuat apa-apa itulah yang beruntung dilintas kehadiran malam itu. Sesungguhnya ia bukan malam penantian, tetapi malam pemburuan dan pencarian.

Entahlah di malam 21, atau malam 23, atau malam-malam ganjil yang lain… Lailatul Qadar dianugerahkan. 9 Ramadhan yang ditempuh Rasulullah SAW di sepanjang hayat Baginda selepas pensyariatan ibadah puasa, menyebabkan riwayat-riwayat tentang Lailatul Qadar hanya tersimpul sebagai suatu anugerah yang diberi pada 10 malam terakhir Ramadhan itu.

“Mengapa tidak ditetapkan sahaja satu malam yang khusus bahawa itulah malam Lailatul Qadar?”, ada yang bertanya.

“Anta cadangkan malam yang mana?”, saya pun bertanya seada-adanya.

“Malam 27 barangkali”, katanya.

“Maka beruntunglah penjual minyak tanah dan pelita untuk malam tujuh likur itu ya!”, saya bergurau.

“Eh, ke situ pulak perginya…”, kata beliau.

KEKELIRUAN E-BACAAN (ANTI HADITH)
Penulis pernah terbaca sebuah artikel yang dikarang di halaman web e-bacaan yang menolak hadith-hadith Nabi SAW termasuk hadith berkaitan Lailatul Qadar. Ulasan penulisnya mengatakan bahawa penantian atau pencarian Lailatul Qadar itu adalah sia-sia kerana kesemua hadith berkaitan, bertentangan di antara satu sama lain. Walhal hadith-hadith itu adalah himpunan dialog dan penjelasan Nabi SAW tentang Lailatul Qadar pada sekurang-kurangnya 9 kali ketibaan Ramadhan di sepanjang hayat Kerasulan Baginda SAW. Setiap hadith itu diungkapkan pada tahun-tahun yang berbeza, bukannya saling bertentangan seperti yang ‘terfahamkan’ oleh golongan anti hadith ini.

Soalnya, bagaimana kalau ketidakpastian itu suatu kesengajaan? Ia bukan kejahilan tetapi ada rahsia besar di sebalik semuanya?

MAKAN GAJI VS KERJA SENDIRI
Lebih mudah untuk kita analogikan seorang yang makan gaji dengan seorang yang berniaga sendiri. Orang yang makan gaji, pendapatannya tetap setiap hujung bulan. Sama ada dirinya produktif atau tidak, hasilnya sama. Malah pada bulan Ramadhan ini, dengan membanyakkan tidur di pejabat dan pulang awal setiap hari, hasil pendapatan tetap sama. Sesuatu yang tetap dan pasti, rupa-rupanya boleh menjejaskan kesungguhan dan produktiviti, seiring dengan kurangnya rasa bersyukur atas kurniaan. Berbeza pula dengan yang berniaga sendiri. Penghasilannya amat bergantung kepada kesungguhan, kerajinan dan produktiviti masing-masing. Kuat bekerja banyak hasilnya. Sedikit berusaha, terjejaslah pendapatannya.

Ketidakpastian adalah rahsia kesungguhan dan kerja keras yang diperlukan. Ketidakpastian + usaha keras = kemajuan, itu sifirnya.
Demikianlah hikmah sebuah ketidakpastian.

LIPATGANDA
30 hari yang terlalu panjang itu mungkin berat untuk sebuah pencarian. Justeru Islam memberitahu bahawa tingkatkan usaha mengejar Lailatul Qadar yang tidak pasti itu pada malam-malam 10 yang terakhir. Lantaran ia hadir pada malam-malam yang tidak ditentukan, manusia yang ada azam untuk berjaya akan melipatgandakan usaha untuk berhasil menemuinya. Malam Lailatul Qadar. Kesungguhan itulah pelengkap proses Taqwa.

Kesungguhan yang diperlukan untuk sebuah kehidupan yang pasti ada jangka masa, tetapi persoalan bila itu dibiarkan sebagai sebuah ketidakpastian. Mati itu tentu, masanya tidak pasti. Antara ketentuan dan ketidakpastian ajal, seorang mukmin memajukan sebuah kehidupan.
Memikirkan peluang beramal berakhir pada jangka waktu yang tidak pasti, Nabi SAW memberi ingatan kepada kita agar mengerjakan solat dengan “SOLAT PERPISAHAN”. Bayangkan setiap solat yang didirikan sebagai solat terakhir kita, kerana mati itu tidak pasti. Kerana kita mati sentiasa di antara dua solat… Ketidakpastian yang mendesak kesungguhan juga perubahan.

SEPARUH MASA KEDUA : PIALA TAQWA

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah ayat 183)

Sahabat,

Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?
Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena. Maksiat kita tinggalkan, tapi kebaikan tidak kita lakukan. Tambah-tambah lagi jika maksiat ditinggalkan hanya semata-mata “rakan syaitan jin dan manusia” tertambat dan bukannya kerana dorongan mahu mendampingi Tuhan. Jangan lupa, buat sesuatu kerana selain Allah itu riya’, meninggalkan sesuatu kerana selain Allah juga adalah riya’.

Andaikata kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan, mereka tidak henti-henti menyerang sedangkan pertahanan kita semakin keletihan. Tambahlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kemenangan kita itu berada di zon selamat, bukan sentiasa di atas urat.

Tambah-tambah dekat nak Raya, penyokong pasukan nafsu semakin bersesak-sesak masuk ke gelanggang. Pekiknya makin menggerunkan. Jangan pula kalian lemah semangat kerananya. Kita pasukan Tuan rumah, harus menang sekurang-kurangnya di gelanggang sendiri.

SEPARUH MASA KEDUA: DAHULU KINI ATAU AKAN DATANG?
Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, masih lemah ditinggalkan masa, kamu di ambang kekalahan. Piala Taqwa itu bakal jatuh ke tangan orang lain, iaitu ke tangan Pasukan Nafsu yang memang diketahui tidak kenal dan kenang nilai Piala Taqwa. Ia hanya mahu mengalahkan pasukan kita, ia hanya mahu melihat Piala Taqwa itu tidak berada di tangan kita.

Apakah musim depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. Masa lalu telah berlalu, masa hadapan tak pasti kesampaian. Dan masa sekarang yang ada di tangan kita, hanya tinggal separuh masa kedua… apakah masih ada ruang untuk berlengah?

“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

KESIMPULAN
Akhirnya perlu kita sedar berbakinya beberapa hari lagi sebelum Syawal mengambil posisi, perlu kita cari titik-titik perubahan yang mungkin tercerna daripada markas bulan tarbiah ini. Tidak nampak dari pandangan mata kasar, maka kita perlu melihat melalui deria keenam, mata hati. Jika masih tidak kedapatan, mungkin Ramadhan kali ini hanya liku-liku daripada masa biasa dalam norma kehidupan seharian. Apakah kita tidak merasakan suatu suasana yang terlalu berbeza daripada bulan Ramadhan ini daripada suasana bulan-bulan yang lain? Maksudnya gejolak nafsu-nafsi kita yang kurang terserlah daripada luar kebiasaan. Kecuali bagi mereka yang telah betul-betul daripada tarbiah oleh makhluk yang dibelengu oleh Allah SWT.

Penulis mengharapkan agar Ramadhan kali ini benar-benar memberi kepuasan. Mungkin dari sudut ibadahnya, atau dari sudut kebergantungan dan pengharapan kepada Tuhan, atau dari sudut amalan dan perbuatan, mahupun dari sudut ukhuwah kepada ahli keluarga dan jiran tetangga. Tidak kira di mana jua kita berada, terdiri daripada bangsa apa, mahupun keturunan mulia atau hina, jika dia mengaku sebagai Islam, hanya satu sahaja tempat yang kita semua idam-idamkan, iaitu SYURGA!

AKHIRUL KALAM penulis ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua pembaca yang budiman sekalian. Semoga hasil nukilan yang penulis kongsikan kepada kalian mampu memberi sedikit ruang untuk kita membuat sedikit anjakan paradigma dalam meniti kehidupan seharian. Buat yang merancang untuk balik ke kampung halaman, penulis doakan agar selamat pergi dan selamat kembali. Buat teman-teman, rakan-rakan dan sahabat handai yang tidak berpeluang untuk balik berhari raya bersama insan tersayang, kirim-kirimkan khabar dan nota kasih sayang buat mereka. Sekian.

Setiap perbuatan baik adalah ibadah, jika kita sandarkan kerana Allah. Wallahua’lam...

sumber SAIFULISLAM.COM

Satu daripada sekian banyak cabaran di dalam arena penulisan dan penerbitan adalah usaha dan idea. Hanya Allah yang tahu betapa dua perkara ini menuntut kepada banyak kesabaran dan kebijaksanaan. Namun apa yang terlebih penting bukan dilihat pada hasilnya mahupun usaha dan ikhtiar tetapi adalah hidayah dan ilham dari Allah SWT...

“Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah, dan sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Anfal, Ayat 10)

Melihat kepada fenomena yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini, umat Islam semakin hari semakin ditindas oleh golongan musuh Islam. Paling banyak liputan media berkenaan penindasan terhadap umat Islam ialah umat Islam di Palestin. Berdasarkan kepada firman Allah di atas, situasi ini menunjukkan suatu kontradiksi atau pertentangan dengan keadaan yang berlaku terhadap umat Islam sekarang.
Malah, ramai di antara kita umat Islam berputus asa dan tidak kurang pula yang keluar dari agama Islam kerana tidak percaya terhadap janji Allah untuk menolong orang-orang yang beriman. Sedangkan kita tidak boleh mempersoalkan jaminan dan janji Allah itu (Maha Suci Allah dari mengingkari janji dan Maha Suci Allah dari mengabaikan jaminanNya). Janji Allah itu pasti, tiada keraguan dan tiada pertikaiannya!

LAPAR DENGAN USAHA UNTUK MENDAPAT NIKMAT KENYANG
Perlu kita sedar dengan akal yang waras, janganlah terlalu leka dengan janji yang Allah SWT berikan tanpa ada usaha atau tindakan yang kita ambil untuk mencapai janjiNYA. Tidak boleh dengan hanya berserah diri. Berserah diri kepada Allah (bertawakal) hanya layak kepada muslim yang telah berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban di jalanNYA. Kita faham bahawa sudah menjadi sunnahtullah bahawa Allah akan makbulkan permintaan sesiapa sahaja yang meminta kepadaNya terutama orang-orang yang beriman dengan sebab musabab.


Contohnya cukup mudah, kalau kita lapar, kita mestilah makan untuk mengenyangkan perut kita.
Tidak ada makanan yang masuk ke dalam mulut kita tanpa disuap, dikunyah dan ditelan. Semuanya perlu kepada usaha makan (ambil makanan, masukkan ke dalam mulut, kunyah dan telan) sehingga kenyang. Untuk mendapat pertolongan daripada Allah SWT merupakan suatu perkara yang mudah sekiranya kita tahu bagaimana dan memenuhi beberapa ciri yang menyebabkan pertolongan Allah itu datang menemui kita. Ciri-ciri tersebut telah nyata dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Qur’an.

LIDAH DENGAN HATI BERGANDINGAN
Pertama: untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah SWT, umat Islam mestilah mempunyai keimanan yang kuat terbenam dihati dan bukannya sekadar ucapan lidah. Iman yang kuat adalah suatu keperluan kerana dengan keimanan barulah seseorang dapat meyakini bahawa setiap musibah yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Manusia yang mengaku beriman pasti akan diuji.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman” sedang mereka tidak diuji” (Surah Al-Ankabut, Ayat 22)

Keimanan jugalah yang akan menjadikan manusia itu lebih bersabar dan mengharapkan bantuan hanya daripada Allah SWT semata-mata. Kesabaran merupakan pantulan keimanan yang kuat. Semakin kuat iman seorang muslim semakin kuat jugalah kesabarannya. Jadi, orang yang beriman perlu menerima bahawa ujian dan musibah yang menimpa umat Islam merupakan suatu ujian dari Allah yang bertujuan untuk menguji keimanan mereka.

DARI HITAM KEPADA PUTIH
Kedua: Perlu kepada HIJRAH. Hijrah merupakan syiar Islam. Hijrah yang dimaksudkan di sini ialah hijrah dari kemaksiatan, kemungkaran, dan kefasikan (mengaku beriman tetapi malu untuk mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian) kepada aqidah keimanan yang kental. Sekiranya, seseorang individu itu belum mengamalkan Islam secara keseluruhannya dalam kehidupan, maka dia perlu berbuat demikian secara beransur-ansur. Meletakkan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai panduan hidup kita serta usaha mendekatkan diri kepada Allah dengan sebenar-sebenarnya.


Hijrah secara mudahnya bermakna kita meletakan perubahan pada diri kita darpada keburukan kepada kebaikan. Banyak perubahan yang boleh kita lakukan pada diri kita. Lakukanlah dengan istiqamah mudah-mudahan pertolonan Allah SWT itu sampai kepada kita.

MENEGAKKAN KALIMAH ALLAH!
Ketiga: Jihad Fi Sabilillah (berjuang pada jalan Allah). Niat perjuangan yang hendak dilakukan mestilah kerana Allah semata-mata dan jihad tersebut adalah untuk menegakkan agama Allah. Tidak boleh berjuang untuk memartabatkan sesuatu bangsa, suku, keturunan, darjat atau pangkat. Perjuangan untuk menegakkan semua itu adalah sia-sia. Perjuangan menegakkan agama Allah pasti akan mendapat pertolongan daripada Allah. Sebagai seorang pelajar, kita sebenarnya berada di jalan fisabilillah. Firman Allah SWT mafhumnya:


“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu. ” (Surah Muhammad, Ayat 47)

Dan lagi firman Allah SWT, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman. Jadik
anlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibn Maryam ketika ia berkata kepada penyokong-penyokongnya: “ Siapakah penolong-penoloongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Penyokong-penyokong Nabi Isa menjawab, “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah.”
(Surah As- Saff, Ayat 14)

BERUSAHA TETAPI TIDAK BERJAYA

Satu penyakit yang selalu menimpa mahasiswa zaman sekarang adalah sukanya mereka kepada perbuatan mengeluh. Sifat ini adalah fitrah manusia yang tidak dapat dielakkan. Namun kita perlu beringat satu keluhan boleh membuatkan usaha yang kita berikan untuk mendapatkan sesuatu terus hilang nilainya di sisi Allah SWT. Jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran, elakkanlah daripada mengeluh atau mempersoalkan usaha kita itu seperti; “Tidak cukupkah usaha aku selama ini?”, “Payah sangatkah nak dapat A nie?”, “Rajin lebih tak dapat, jadi malas pun tak dapat. Macam mana baru nak dapat?”. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Cepat-cepatlah kita beristighfar apabila kita mengeluh dengan usaha kita itu.

Rasulullah SAW tidak pernah mengeluh apabila usahanya untuk melihat seluruh umat yang diserunya memeluk agama Islam. Sebaliknya apa yang Rasulullah SAW lakukan adalah memohon pertolongan daripada Allah SWT untuk mengurniakan hidayah kepada mereka. Di baling dengan batu, di baling dengan najis, di caci, di maki dan ancaman bunuh tidak pernah mematahkan semangat dan usaha Rasulullah SAW untuk berdakwah kepada umat manusia ketika hidupnya. Usaha kita bagaimana? Allah hanya menguji kita dengan seringan-ringan ujian seperti asignment hilang, markah rendah dalam midterm dan sebagainya. Maka dengan perkataan seperti “haaah~”, (bunyi seperti mengeluh) usaha kita menjadi tidak berrnilai di sisi Allah SWT, kerana perbuatan mengeluh umpama kita tidak lagi mempercayai kuasa Allah SWT.

KITA MERANCANG, ALLAH TURUT MERANCANG
Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian, tanamlah di dalam hati kita akan kejayaan yang kita inginkan untuk masa hadapan. Bukan sahaja untuk dunia, tetapi kejayaan di akhirat juga. Kita merancang, Allah juga merancang, tetapi sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah SWT. Barangkali usaha kita itu sebenarnya sudah layak untuk kita menerima keputusan yang cukup cemerlang. Namun Allah tidak lagi mengurniakan kepada kita kejayaan seperti yang kita idamkan. Mungkin jika Allah SWT kurniakan kejayaan seperti itu menjadikan kita lupa diri, sombong dan takbur bukan sahaja kepada manusia lain, tetapi kepada Allah SWT juga, maka Allah takdirkan agar kita tidak berjaya pada hari ini sebagai langkah untuk menyelamatkan hati kita di kemudian hari. Lihatlah betapa Allah SWT Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana, begitu indah perancangannya untuk kita.

Sesungguhnya, hamba yang redha kepada ketentuan Allah SWT itu begitu tinggi kedudukannya di sisiNya (bersyukur). Allah tidak campakkan kejayaan kepada kita hari ini, tetapi diberikannya di akhirat kelak. Nilai kejayaan yang manakah lebih besar nilainya? Jika Allah kurniakan kejayaan buat kita di dunia dan akhirat, doalah penyebabnya selain daripada usaha kita untuk mengecapi kejayaan itu. Berdoalah selalu semoga Allah makbulkan doa kita. Kemudian tambahkan usaha kita ke arah kejayaaan.

SELAMAT BERJUANG! YAKIN BOLEH!
Begitulah rasanya hati ini dihiburkan agar sentiasa faham betapa Allah itu sentiasa dekat kepada hambanya. Apatah lagi yang mengaku sebagai pejuang penegak kebenaran. Khalifah! Andai ini Ramadhan terakhirku, biar membawa seribu keberkatan dan merungkai keampunan. InsyaAllah...


Berdoalah selalu mohon dipermudahkan jalan dan urusan, tingkatkan usahamu untuk mencapai impian, carilah jalan dan ikhtiar agar usaha berkekalan, dan bertawakkal kepada Allah SWT di atas segala ketentuan. Begitulah kehendak hati...

Setiap perbuatan baik adalah ibadah, jika kita sandarkan kepada Allah. Wallahua’lam...

Sampai satu masa, kita akan berubah. Berubah pada pemikiran, gaya menyampaikan dakwah, manhaj dalam berilmu, malah sikap dan kelakuan.

Perubahan itu adalah proses biasa dalam kehidupan, ada perubahan yang diusahakan atas pilihan, dan ada juga perubahan yang dilakukan kerana terpaksa. Pokoknya manusia berubah dari satu masa ke satu masa. Sesuai dengan pertambahan usia.

Maka, dalam hidup ini, pada setiap peringkat yang kita berada, jangan sekali-kali kita lakukan perkara yang nantinya menyukarkan diri untuk berubah. Apabila kita sedar yang kita perlu berubah, tetapi kita elakkan diri dari berubah kerana hal-hal silam yang telah kita lakukan, maka kita akan mula tidak jujur kepada diri sendiri. Kita tetap berubah, iaitu berubah menjadi seorang penipu dan pengkhianat kepada diri sendiri.

PERUBAHAN AKHLAK
Orang Barat di sana tu, menepati masa. Bekerja dengan penuh amanah. Akhlaq ini bukan lalang, boleh tumbuh sendiri. Perlu kepada usaha. Habit positif di Barat bukan tercetus sendiri. Mereka mengajar dan belajar mengenainya. Barat belajar dan mengajar ‘habit’ (akhlaq). Memang dalam sejarah Barat, kesan kepincangan Kristianiti, ramai yang membuang agama. Tetapi yang dibuang itu adalah ritual. Substance atau intinya masih dijaga dan dipupuk.

Untuk membentuk tabiat positif, ada teknik dan kaedahnya. Ia diajar dan dipelajari secara intensif di sekolah-sekolah. Barat boleh buat semua ini sebab mereka memuliakan manusia. Lantas mereka berminat mengkaji manusia. Sebab itu, majoriti disiplin Sains Kemanusiaan seperti Psikologi, Sains Politik, Kaunseling, Komunikasi dan lain-lain, dibangunkan dan dikembangkan oleh Barat. Mereka tidak memperlekehkan anak-anak. Jika anak berusia 3 tahun mahu bercakap, mereka akan berhenti bercakap dan memberi perhatian dan tkepada anak mereka. Tidak seperti kita di sini, “Eh, diamlah. Orang tua nak bercakap, kamu sibuk nak bercakap. Pergi main sana!”, ini bahasa biasa kita terhadap anak-anak sendiri.

Cumanya, dengan membelakangkan agama, tabiat itu mudah tersasar. Nilai mudah berubah. Puncanya ialah kerana tiada nilai Ta’abbud (ibadah). Tiada Ubudiyyah (pengabdian diri) kepada Allah. Tiada reference point (sumber rujukan utama) dalam hidup. Kebaikannya terpisah dan tidak berhubung dengan Tuhan, kerana ramai yang berkrisis terhadap ritual dalam agama. Maka rugilah Barat dari sudut Ta’abbud kerana meninggalkan ‘agama’ (ritualnya).

UMAT ISLAM PULA BAGAIMANA?
Kita sangat mementingkan ritual, sehingga menyangkakan ritual itu puncak agama. Kita semakin percaya bahawa Akhlaq ialah lalang. Tidak perlu diajar, tidak perlu disemai dan dipupuk. Akhlaq tumbuh sendiri tanpa perlu disemai, dibaja dan dijaga! Lantas agama kita hanya sibuk dengan ritual, tetapi unsur berupa Akhlaq, Tabiat, Habit… dibiarkan …Pandai-pandai sendiri… kerana percaya ia lalang.
Soalnya, orang Barat ‘tak ada agama’ tapi ada tabiat positif. Ada HABIT. Kita yang ada agama, tak ada Akhlaq. Habis, macam mana nak jawab kalau ada orang persoalkan, apa gunanya agama kalau yang beragama tidak berakhlaq, sedangkan Barat tanpa Islam pun boleh lebih ‘Islamik’!”

Ibnu Batuta pernah menyatakan “Aku melihat Islam itu di Barat tetapi tidak ada orang Islamnya. Aku menemukan orang Islam di Timur tetapi tiada pula Islamnya …”. Jadi, ke manakah pula Islam ketika itu?

HIDUPKAN KEMBALI TUJUAN AGAMA
“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurniakan kemuliaan dan nilai Akhlaq”
(Disahihkan oleh al-Albani - 1/45).

Atas dasar itulah sepatutnya kita menghargai usaha Imam al-Ghazzali menulis kitabnya Ihya’ ‘Ulumiddin. Al-Ghazzali kecewa dengan golongan Fuqaha’ yang terperangkap di dalam ritual. Sedangkan solat disyariatkan untuk membentuk peribadi lalu mendidik hati. Semestinya untuk Akhlaq diri manusia . Tetapi umumnya di masa itu, orang sibuk dengan rukun dan syarat Ibadah, tetapi peranan Ibadah dalam membentuk jiwa dan Akhlaq tidak dipedulikan. Maka agama menjadi ritual… kulit semata-mata. Yang kuat bersembahyang itulah yang kuat temberang. Yang bertudung itulah yang paling tak malu. Yang berkelulusan agama itulah MUSUH agama.

GENERASI KURANG AJAR
Ada yang risau, generasi muda sekarang tak hormat Ulama’. Maka jari ditunding kepada manhaj (sistem pendidikan). Manhaj dipersalahkan. Cara belajar dipersalahkan. Benarkah itu puncanya? Benarkah kalau belajar bertalaqqi (secara berdepan, eklusif) dengan guru lagi bersanad, maka terhindar dari gejala Akhlaq? Benarkah cara tradisional lebih membentuk Akhlaq berbanding cara moden ala-ala universiti, sijil dan ijazah?

Maka, bukan cara belajar yang dibimbangkan, tetapi apa yang diajar dan apa yang dipelajari, itu yang lebih utama. Lantas kurang ajar itu terpalit pada manhaj yang sudah cukup matang dan lama, lagi berjasa kepada agama. Sebagaimana Islam terfitnah oleh kelakuan penganutnya, begitulah juga manhaj disalah ertikan oleh kemarau Akhlaq pendukungnya.

MENGUBAH SIKAP TERHADAP SESAMA KUMPULAN ISLAM
Dalam hal ini juga manusia itu boleh berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Sebab itulah jangan kita terlalu mencederakan lawan. Sampai satu masa, kita mungkin perlu berubah. Mungkin tidak mengubah masyarakat, tetapi mengubah sikap terhadap sesama masyarakat.

Sudah binasa umat kita dimakan hedonisma dan maksiat yang menggila. Kezaliman makin melampau, dan setiap kita lemah untuk pergi ke medan sendirian. Di peringkat kepimpinan, kesedaran telah ada untuk saling bekerjasama. Tetapi di peringkat yang lain pula, sukar benar untuk kita berlapang dada.
Mengapa?

Kerana semasa kita di kumpulan A, kita sangat rakus mencederakan kumpulan B dan C. Semasa kita di kumpulan B, kita membina kejayaan dengan memijak dan mengkhianati kumpulan A dan C. Maka kita telah menyulitkan perubahan.

Apabila tiba masa kita bekerjasama, kita sukar berlapang dada. Kerana luggage kita berat dengan perbuatan silam.
Maka bagi generasi pendakwah Islam yang baru, bersederhanalah…
Izinkan diri untuk menempuh perubahan dari satu usia ke satu usia, kerana ia sebahagian dari proses kematangan Bani Insan.

CABARAN PENDAKWAH
Cabaran emosi yang paling rumit ialah apabila manusia mahu dihargai oleh manusia yang lain. Jangan kecil hati, jika kita tidak dihargai. Perkara tersebut akan berlaku berulang kali, dan jangan sekali-kali seorang pendakwah kecundang kerananya.

Pendakwah harus kuat. Bukan sahaja kuat ilmu dan tajam minda, malah kuat emosi dan kukuh perasaan. Jangan mudah dimain perasaan dan jangan pula berdakwah tanpa perasaan! Ya, manusia memang pelbagai ragam.

Jika kita suka mengharapkan agar kebaikan kita dihargai dan disebut-sebut, penulis kira orang seperti ini tersilap planet. Hal ini perlu difikirkan semasak-masaknya oleh kita semua. Hanya dengan itu sahaja, the unsung hero tidak berputus asa untuk terus melakukan kebaikan. Pelbagai lagi kebaikan yang dilakukan oleh hero-hero yang tidak didendangkan ini, sukar untuk diteruskan jika kita masih memikirkan sejauh mana jasanya dihargai oleh manusia.

Selagi ada rasa mahu dihargai manusia, kita memang sudah tersilap mendarat di planet ini. Manusia memang sukar menyebut dan menghargai kebaikan.Teringat penulis pesanan Luqmanul Hakim: Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

Nak memuaskan hati manusia itu rumit. Kerana itulah, pegang sahaja slogan GOD IS MY CEO . Buat kerja, biar jadi ibadah, itu sahaja justifikasinya. Jika masih mahu dipuji manusia, renung sahajalah ayat ini:

“Dan sedikit sahaja dari kalangan hamba-Ku yang bersyukur” (Surah Saba, ayat 13)

Orang yang bersyukur tidak mintak pujian daripada manusia, tetapi hanya daripada Allah, yakni meminta keredhaan-Nya.

KESIMPULAN
Benar sekali, setelah begitu banyak kebaikan yang Allah curahkan kepada manusia, sedikit sahaja yang mahu berterima kasih kepada-Nya. Maka bagaimanakah pula kita? Hamba Allah yang kerdil ini boleh tidak lena malam hanya kerana kecewa dan berkecil hati dengan mad’u (orang yang didakwah) kita. Tetapi layakkah kita?

JANGAN BERKECIL HATI. Kita kan hamba!

Akhirul kalam, setiap perbuatan yang baik adalah ibadah, jika kita sandarkan kepada Allah. Wallahua’lam ...

Dipetik dan diedit daripada saifulislam.com