We can make a different!

MAWADDAH HABIS DAH?
“Noh! Tak ada MAWADDAH ke hari ni?” Din bertanya. 
“Ada… dah habis kot…” jawab Noh mudah. 
“Apa tajuk kali ni?” Din bertanya lagi. 
“Entah! Manalah aku tau…” jawab Noh ringkas, acuh tak acuh. 
“Eh! Habis Macam mana kau tahu risalah tu dah habis?” Tanya Din bertubi. 
“Kau cakap dah tak ada tadi kan? Maksudnya dah habislah. Itu pun tak faham?”
Hari ini tanggal 29 Sya'ban 1432 H dan kurang lebih beberapa jam lagi pengumuman puasa akan dibuat. Saya teringat akan satu peristiwa seperti yang saya rakamkan dalam perbualan di atas. Ketika itu saya dipertanggungjawabkan untuk menjadi editor utama untuk risalah Mawaddah di bawah ISEUMS yang terbit sekali seminggu (setiap hari Jumaat).

Saya adalah sekretariat untuk dua sesi Exco Kerohanian dan Sahsiah (EKSAH), Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah, (MPPUMS).  Terima kasih saya ucapkan kepada saudara Nurilhakim, dan saudara Nurilfateh di atas kepercayaan yang telah diberikan.

Selama saya menulis untuk risalah MAWADDAH, pernah sekali saya merasa terharu apabila ada pula mahasiswa yang ‘rindu’ akan risalah ini. Bukan hendak menunjukkan bangga ataupun ujub, tetapi kadang-kadang saya merasa 'lega' apabila ada yang menghargai sekeping kertas risalah yang diterbitkan khas buat mereka.

PEMBUNGKUS MI ATAU NASI LEMAK

Tidak kisahlah sekeping kertas itu kemudiannya digunakan untuk dijadikan sebagai lapik alas mangkuk maggi mi, atau buat lap basahan di atas meja selepas makan mahupun dijadikan sebagai pembungkus nasi lemak untuk dijual. Asalkan ia telah dibaca, matlamat saya telah tercapai.

Susah untuk saya memilih isu yang sesuai untuk dijadikan bahan di dalam penulisan saya. Kadang-kadang ketandusan idea, walaupun internet mempunyai lautan bahan yang telah tersedia.

Saya harus bijak mencakna isu dan suasana. Kadang-kadang kena pada isu dan masa, dan kadang-kadang ada yang menggaru kepala.
“Kau tak nak baca ke?” Din bertanya lagi. 
“Dah baca… Apa sangatlah ada pada risalah ni. Aku baca biasa je.” jawab Noh lagi selamba. 
 “A’ah, aku tau, tapi bilalah agaknya kau mau baca benda macam ni dekat luar tu?” Sindir Din.
Memang penulisan saya mahupun hasil alohan dari sumber yang saya pilih itu hanya ‘biasa-biasa’ sahaja. Inilah perjuangan yang saya pilih untuk berkongsi sedikit kesedaran kepada mahasiswa di luar sana.

Setiap perjuangan yang kita pilih untuk menyampaikan Islam, sebenarnya suatu yang besar dan bukan kecil seperti yang kita fikirkan. Itu sifir motivasi yang saya pegang sebagai penulis kecil-kecilan.

KECIL ATAU KERDIL?

Kita bukan pemula kepada perjuangan, tetapi penyambung kepada dakwah perjuangan. Risalah Islam adalah menegakkan kalimah Allah SWT di muka Bumi ini.

Kita menyambung perjuangan para ulama’ silam. Mereka berjuang menyambung perjuangan para sahabat nabi, dan para sahabat pula meneruskan menyambung perjuangan Rasulullah SAW, rasul pilihan.

Rasulullah SAW, pula berjuang sebagai hamba. Taat, dan patuh kepada pencipta-NYA. Allah SWT mensyariatkan kepada baginda Islam perlu ditegakkan, maka Rasulullah SAW sepenuh jiwa berjuang untuk-Nya.

Allah SWT pula adalah pencipta kepada seluruh alam.

Maka mengapakah perlu kita katakan kita kerdil dalam perjuangan? Kita berjuang bukan untuk orang, mahupun BANGSA atau KETURUNAN, tetapi untuk Allah PENCIPTA SELURUH ALAM!

Maka atas kefahaman inilah, saya memilih penulisan, sebagai satu medan untuk berjuang...

RAMADHAN TERAKHIR?

Janganlah kita membesar-besarkan kejayaan kita untuk memperoleh perhatian manusia, lantas membangga diri. Perbuatan tersebut (percayalah) langsung tidak ada nilainya di sisi Allah.

Di sisi manusia kayu ukur usaha adalah berjaya atau gagal semata-mata, namun di sisi-Nya Allah hanya menilai dan mengurniakan pahala ke atas usaha yang kita lakukan. Maknanya, jika usaha kita itu gagal di akhir cerita, Allah tetap mengurniakan pahala buat kita.

Sifirnya mudah, biar sedikit pun usaha kita dalam rangka menyebar dakwah mahupun islah, Allah tetap akan mengurniakan kebaikan (pahala) buat kita.
Kata ulama' 'biar sedikit tetapi istiqamah!'
Mari bersama kita jadikan Madrasah Ramadhan yang bakal menjelang ini sebagai satu medan perubahan.

Siapakah yang tahu bilakah ajal kita akan tiba? Adakah kali ini merupakan Ramadhan terakhir buat kita? Mungkin esok, atau mungkin sekejap lagi!

Wallahu'alam.

NOTA:
  1. dikalang manusia ada binatang, dikalangan binatang tidak ada manusia? 
  2. orang yang berusaha adalah orang yang sentiasa bergerak dan bekerja bukannya statik dan membuang masa! 
  3. Jika anda mula menabung satu hari satu ringgit pada umur 7 tahun, bilakah agaknya tabungan tersebut menjadi 24 juta? 
  4. pukul berapakah waktu imsak 1 Ramadhan anda, dan bilakah pula masuk waktu maghribnya? 

Kritikanmu, pujian buatku!

One Response so far.

  1. Assalamu'alaikum. Penulisan yg menarik. EKSAH tiada lagi semasa sesi kami, membuatkan satu cabaran dan kredit buat kami smua. Apapun, nak minta ajar sikit lagi tentang s/u ni..byk kelemahan..mhn tunjukkan..

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=