Maka mereka mencari jalan dan helah agar semua umat Islam yang masih berbaki di Sepanyol pada ketika itu dapat dihapuskan. Maka mereka menggunakan helah dan tipu daya bagi memerangkap umat Islam tersebut, dan mereka berjaya. Peristiwa inilah yang mereka rujuk sebagai April's Fool!

BERGURAU: LUCU BAH!
Apabila kita berbicara tentang bergurau senda, maka satu persoalan yang perlu kita fikirkan adalah; apakah gurauan yang kita lakukan setiap hari itu menyerupai bentuk gurauan yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri?

Gurauan sememangnya tidak dilarang oleh agama Islam asalkan amalan tersebut tidaklah bertentangan dengan adab-adab pergaulan, yakni gurauan yang membawa kepada permusuhan seperti memperbodohkan atau menyinggung perasaan orang lain. Kita berasa gembira dan puas kerana gurauan kita menjadi atau mengena.

Tetapi akhirnya gurauan itu boleh menyemarakkan api permusuhan, melebarkan retak perpecahan dan meninggikan dinding persengketaan di antara dua pihak atau lebih.

Gurauan memang dibenarkan dan diharuskan dalam Islam apabila bergurau dilakukan sesuai dengan etika atau adab yang dibenarkan dan telah digariskan oleh agama Islam. Gurauan yang Islam bawa adalah berbentuk nasihat dan peringatan.

Hal ini demikian supaya kita meninggalkan kesan positif, khususnya dalam merapatkan lagi ikatan ukhuwah di kalangan kita kerana melalui gurau senda tersebutlah maka akan wujudnya kemesraan di kalangan sesama kita, baik sahabat handai hatta kaum keluarga.

HA! HA! HA!
Namun hakikat yang dapat kita lihat pada hari ini adalah ramai di kalangan kita sudah jauh menyeleweng daripada etika dan adab yang ditetapkan di dalam Islam. Lihat sahaja tradisi April's Fool iaitu suatu tradisi di mana pada hari tersebut seseorang akan cuba memperdayakan atau bersenda gurau dengan sesuatu perbuatan yang boleh menarik perhatian.

“Hei Fulan, hari ni midtermlah, nape aku nampak engkau cool je?”, sapa Fulanah kepada si Fulan, cukup yakin. Si Fulan menggelabah.

"Eh! Biar betul? Tak ada pun orang bagi tau aku." balas Fulan dengan mengerut kening, berpaling muka kepada Si Fulanah. Kecut perutnya.

"Memang orang tak bagi tau engkau, sebab...... APRIL FOOOOOOOLS! Ha! Ha! Ha! Ha! Ha!..."

Maknanya, orang tersebut telah berjaya memperdayakan atau memperbodohkan si Fulan tadi. Tidakkah kita rasa tertipu, atau terkilan dengan perbuatan khianat dan zalim seseorang yang memperdayakan kita? Tetapi yang peliknya, kita akan melihat reaksi bahawa yang mengena dan terkena sama-sama ketawa kerana gurauan yang diberikan menjadi seperti yang diharapkan.

Betapa April's Fool ini telah menjadi satu bentuk adat yang telah sebati di dalam masyarakat kita.

AL-KISAH: MERAUNG SUKA, MERAUNG MERANA!
Saya pernah terbaca tentang suatu tragedi yang berlaku pada 1hb April. Seorang suami yang jahil tentang agama, telah mengucapkan 'Aku ceraikan kau dengan talak 3!' kepada isterinya dengan niat untuk bergurau.

Isterinya memberikan reaksi spontan dengan terus meraung kerana terkejut. Melihat kepada reaksi tersebut, si suami dengan muka selamba kemudiannya mengucapkan ‘April Fool!' lalu ketawa berdekah-dekah.

Namun, peristiwa tersebut tidak terhenti di situ sahaja kerana selepas itu giliran si suami pula yang meraung apabila mengetahui bahawa talak yang dilafazkannya telah pun jatuh walaupun dengan niat untuk bergurau!!!

Sungguhpun April’s Fool dilihat sebagai suatu tradisi untuk bergurau, namun motifnya adalah untuk mengaibkan (memperdayakan atau memperbodoh-bodohkan) orang. Dengan hal yang demikian, tradisi tersebut tergolong sebagai perbuatan yang sia-sia dan tidak bermanfaat. Malah, April’s Fool juga boleh memercikkan api kemarahan bagi mereka yang diperdayakan.

Oleh itu, sebagai seorang mahasiswa Muslim yang intelek, kita haruslah matang untuk menilai dan seterusnya mengamalkan cara dan etika pergaulan yang bersih dari perbuatan yang sia-sia. Sabda Rasullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya, antara kesempurnaan Islam seseorang manusia itu ialah dia meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah baginya”. [H.R Tirmizi]

ADAB RASULULLAH SAW BERGURAU
Bergurau senda merupakan satu amalan yang biasa dilakukan oleh setiap manusia. Bahkan Rasulullah SAW sendiri dikatakan pernah bergurau senda dengan para sahabat dan isterinya. Akan tetapi, Rasulullah SAW bergurau dengan para sahabat atau ahli keluarganya dengan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan.

Baginda tidak pernah mengatakan perkara-perkara yang tidak berfaedah, apatah lagi jika gurauan baginda tersebut membicarakan perkara-perkara yang batil yakni untuk mengaibkan seseorang.

Demikianlah, betapa mulianya peribadi Rasulullah SAW hinggakan ketika bergurau senda sekalipun baginda tidak pernah leka atau cuai menitipkan hikmah di sebaliknya.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT sekalian, perlu kita sedar bahawa apabila bergurau sekalipun, Islam tidak mengajar dan membenarkan kita untuk melakukan perkara-perkara yang batil seperti memperdaya, memperbodoh mahupun mencaci rakan-rakan kita yang lain sama ada mereka adalah saudara seagama ataupun tidak.

Jangan nanti berlaku pertelingkahan akibat bergurau tadi. Jadi, apakah keuntungan yang kita dapat daripadanya? Kita mendapat dosa, syaitanlah yang akan berasa gembira dan puas.

SEJARAH HARI APRIL’S FOOL
Terdapat banyak fakta dan sejarah yang boleh dirujuk tentang sejarah asal usul tentang sambutan ini berlaku. April Fool's dipercayai mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol suatu ketika dahulu. Setelah Islam bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya jatuh apabila ditawan oleh tentera-tentera Kristian.

Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing semata-mata untuk menyelamatkan diri dan iman mereka.

Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dengan penaklukkan yang mereka buat terhadap Sepanyol apabila menyedari masih ada penduduk-penduduk Sepanyol yang beragama Islam. Maka mereka mencari jalan dan helah agar semua umat Islam yang masih berbaki di Sepanyol pada ketika itu dapat dihapuskan.

Maka mereka menggunakan helah dan tipu daya bagi memerangkap umat Islam tersebut, dan mereka berjaya. Peristiwa inilah yang mereka rujuk sebagai April's Fool!

Peristiwa ini berlaku di dalam bulan April, lantas mereka mengabdikan kejayaan ini dengan mengadakan sambutan keraian atau pesta. Dari tahun ke tahun dan bertukar zaman, akhirnya keraian tersebut bertukar menjadi sambutan dan budaya yang kebanyakkan manusia sehingga ke hari ini menyambutnya.

Orang sambut, kita pun turut sambut. Memang 'FOOLS'...

"APRIL FOOOOOL!!! HA!HA!HA!HA!HA!"

KESIMPULAN
Saya harapkan agar sahabat-sahabat sekalian mampu membuat pertimbangan dengan akal yang waras berpandukan kepada ajaran Islam terhadap tradisi yang merugikan, APRIL’S FOOL!. Sebarkanlah perkara ini buat rakan-rakan kita yang lain dengan baik agar mereka juga turut faham dan meninggalkan perbuatan yang sia-sia ini.

Mudah-mudahan dengan usaha kita yang kecil ini mampu membawa kesedaran kepada diri kita betapa Islam itu adalah syumul (lengkap) yang meliputi dan melewati sempadan akal pemikiran kita. Paling penting dalam situasi yang ingin saya ketengahkan pada kali ini adalah, Islam menjaga umatnya dalam adap pergaulan dari berlaku permusuhan akibat dari api kemarahan.

Sekian, Wallahua’lam…

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=