"Salam Hijrah 1430H buat semua sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah SWT sekalian.
Moga MAAL HIJRAH pada kali ini membawa satu pengertian yang baru kepada kita.
Perubahan membawa kebaikan."
Satu Muharram datang lagi. Seperti biasa, rancangan televisyen dan radio akan menemubual orang ramai.

Soalan setiap tahun, “Apa yang anda faham mengenai hijrah?”

Respondan pertama,
“Err.. permulaan tahun baru umat Islam.”

Respondan kedua, “Perpindahan Nabi Muhammad dari kota Makkah ke kota Madinah.”

Respondan ketiga, “Eh, tak tahu pula saya. Sekarang sudah berapa hijrah?”

Pada waktu ini juga, kisah hijrah Nabi Muhammad daripada kota Makkah ke kota Madinah diulang-ulang. Ada juga yang menerangkan falsafah di sebalik hijrah. Susunannya tidak berubah. Nabi Muhammad mendapat tentangan penduduk Makkah, mendapat wahyu daripada Allah supaya berhijrah, penghijrahan Rasulullah bersama Abu Bakar, mendirikan Masjid Quba’ dan sampai di Madinah. Sekali imbas, ia ibarat satu perjalanan yang mudah. Ibarat menyentuh kad Touch N Go. Apabila difikir kembali, bukan senang Rasulullah dan para sahabat berhijrah. Rasulullah cukup sayang dengan Makkah; tanah kelahirannya, tempat baginda membesar, tempat terletaknya Baitullah yang pasti meninggalkan banyak kenangan.

Baginda berkata, “Demi Allah, sesungguhnya engkaulah (Makkah) sebaik-baik bumi Allah dan bumi Allah yang Allah paling kasih kepadanya. Sekiranya kaumku tidak mengeluarkanku nescaya ku tidak akan keluar.” (Riwayat Tirmizi)

Para sahabat juga begitu. Rasulullah yang dikenal bukan lagi seperti kawan, adik beradik dan ahli keluarga malah mereka kenal lebih daripada anak sendiri. Apabila Rasulullah mengarahkan berhijrah, semua umatnya di Makkah berhijrah tanpa banyak kerenah. Madinah bukan semua sahabat pernah pergi malah ada yang tidak ada sesiapa pun yang mereka kenal di Madinah. Mereka berhijrah bukan kerana dijanjikan projek tetapi misi menyelamat agama supaya kekal dirasai oleh umat Islam hari ini. Apabila Rasulullah arah sahabat hijrah, terus hijrah!

Ustaz Zahazan memberi komen yang baik mengenai para sahabat,
“Kelebihan yang mereka miliki selain daripada iman yang menggunung ialah himmah (tekad) yang kuat, pantang menyerah, tidak kalah dalam menghadapi kesulitan, tidak mudah puas sebelum mendapatkan yang dituju dan istiqamah.”

Rasulullah tidak bertindak membuta tuli apabila mengarahkan para sahabat berhijrah. Ternyata baginda seorang yang strategis, praktikal dan bertanggungjawab. Rasulullah menerima perjanjian Aqabah dengan penduduk Islam Madinah sebanyak dua kali. Sehingga tersebut dalam perjanjian bahawa penduduk Madinah akan menjaga keselamatan baginda dan di Madinah, baginda lebih komited untuk berhijrah. Begitu juga persiapan Rasulullah sebelum berhijrah. Mencari teman berhijrah, menyediakan pengangkutan terlaju, lokasi persinggahan atau persembunyian, logistik bekalan makanan dan penunjuk arah jalan yang terbaik semuanya dirancang dengan teliti. Benar, wahyu adalah wahyu.

Pengajarannya adalah, apabila bertindak atas nama agama, elakkandaripada bertindak membabi buta. Ia bukan sahaja menyusahkan diri sendiri malah membawa perspektif buruk ke atas agama. Jika Tahun Baru Masehi ada azamnya, Tahun Baru Cina ada ramalannya, Tahun Baru Hijrah biarlah ada kelainannya. Bukan sekadar perubahan pada diri tetapi juga pada agama. Walaupun peristiwa hijrah ini sudah lebih 1400 tahun, aura perjuangan umat Islam terdahulu tetap kekal dalam sanubari umat Islam. Dari generasi, mesej Rasulullah sampai dengan kesungguhan umat Islam terdahulu. Biarlah semangat hijrah ini menjadi bukti dan dapat sampaikan kepada generasi umat Islam akan datang. Sekian, terima kasih.
daripada COMIC ALWAN o03

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=