APAKAH YANG TELAH SAYA SUMBANGKAN?
Kita perlu fikirkan apakah yang mampu kita sumbangkan dan bukan membicarakan apakah yang telah orang lain sumbangkan.

Kita mahu sesuatu perkara untuk berubah, dengan lebih tepat lagi mengikut suasana atau kehendak perasaan kita. Berkata-kata memang mudah, untuk melaksanakannya amat payah. Semua orang boleh berkata untuk berkehendakkan itu dan ini, tetapi sejauh manakah mereka mampu merialisasikannya, paling tidak untuk merancangnya dengan pelan kerja. Jika hanya mampu untuk mengharap perubahan hanya pada lidah tanpa perbuatan, kita tidak lain dan tidak bukan hanyalah terdiri daripada orang kebanyakan.

UNIVERSITI KEDAI KOPI
Jika di kampus, banyak sekali mahasiswa yang berkobar-kobar menuntut perubahan. Pandangannya melangit tinggi seumpama mereka lebih tahu daripada pemimpin sendiri. Walhal jika dikaji atau diselidiki, mereka hanyalah membuat kesimpulan sendiri terhadap cerita yang belum habis didengari, hanya daripada satu pihak, atau ‘cerekarama’ alkisah yang mereka olahkan.Tidak salah untuk kita mengkritik mana-mana pihak, yang menjadi salah adalah apabila kita hanya menjaja ‘cerekarama’ tadi untuk menjadi berita sensasi di kampus itu sendiri. Penyelesaiannya tiada, hanya cerita sahaja.

Kadang-kadang saya cukup kecewa terhadap golongan ini kerana hanya tahu berkata-kata tanpa mahu melakukannya. Isu kampus seperti bas, kafetaria, keselamatan, kolej kediaman, PTPTN dan banyak lagi hangat di’lipurlara’kan dan berlegar disekitar kedai kopi. Kadang-kadang mereka mampu mengeluarkan idea yang cukup bernas dalam mendepani mana-mana isu yang mereka perkatakan. Tetapi sayang seribu sekali sayang, mereka lebih suka duduk di kedai kopi.

KERETA API
Jika kita mengharapkan mereka ini untuk berdiri di barisan hadapan mengetuai jemaah mahasiswa di kampus, mereka lantas lari menyorokkan diri. Analoginya cukup mudah, cuba kita lihat sebuah kereta api, jika kita di hadapan kita mengemudi, jika kita di belakang kita penumpang. Sebagai pengemudi, kita mempunyai kuasa menentukan perkhidmatan. Tetapi sebagai seorang penumpang, kita hanya duduk dikerusi menikmati perkhidmatan yang telah kita persetujui untuk disajikan.

Kepimipinan tidak dilahirkan, tetapi perlu diasah dan dipertajamkan. Pengalaman adalah guru yang paling berkesan. Kita mahu perubahan maka perlu kepada kepimpinan. Apabila perlu kepada kepimpinan, kita mesti bina keterampilan. Kita mahukan diri ini berakhlakkan seorang pemimpin, bukan hanya diletak untuk memimpin.

KISAH MIMPI SEBUAH PERINTAH
Suka untuk saya kaitkan artikel yang saya karang ini dengan kisah korban Nabi Allah Ibrahim AS dan juga Nabi Allah Ismail AS. Nabi Ismail AS membuktikan keberanian dengan membenarkan mimpi bapanya, Nabi Ibrahim AS sebagai perintah daripada Allah SWT. Malah melaksanakan perintah tersebut. Walaupun keberatan, Nabi Ibrahim AS bukan sahaja berkata akan melaksanakan perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya, malah dikotakannya dengan penuh ketaqwaan. Kisah pengorbanan paling agung yang Rasulullah SAW khabarkan untuk kita persaksikan keimanan dan ketaqwaan mereka. Juga sebuah peristiwa yang Allah SWT jadikan sebagai pengajaran buat orang-orang yang bertaqwa.
KESIMPULAN
Universiti adalah medan teoritikal juga praktikal. Kita perlu melihatnya secara holistik dan bukan secara kolektif. Biar kita uji sejauh manakah kemampuan kita. Jangan kata ‘saya tidak boleh’ selagi kita belum melakukannya. Percayalah tiada yang mustahil di dunia ini. Jika Allah SWT berkehendakan sesuatu, Dia hanya perlu kata “Jadilah...” maka terjadilah sesuatu itu.
Saya pernah kata saya tidak mampu, tetapi akhirnya saya mampu kerana mencuba terlebih dahulu.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Wallahu’alam...

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=