“Kalau tak tahu, cakap tak tahu, kan senang. Orang pun tak banyak soal…”
“Eh! Ana dah cakap ana tak tahu. Bawa beristighfar shekh… apa kisah sebenarnya ni?”
“Hmm… Kawan kita pergi dulu, si fulan… Time balik dari kampung...”
“Innalillahi wa innalillahi raji’un…”

DUA PERSIMPANGAN
Dek kerana ajal belum sampai waktunya, manusia memajukan sebuah kehidupan. Jika Islam menjadi pegangan, simpang akhirat menjadi tujuan. Jika dunia dijadikan habuan, harta pengisi kekosongan sebagai jalan mendokong kehidupan. Begitulah nilai sebuah kehidupan seorang Islam. Memajukan masa atau waktu dengan memilih di antara dua persimpangan. Matlamat akhir dikedua-dua jalan ini pastinya berbeza.

Jalan menuju akhirat itu cukup jauh dan penuh dengan liku, tetapi sebaliknya untuk jalan yang satu lagi. Cukup pendek. Apa yang ada pada jalan yang pendek itu boleh juga ditemui di jalan yang panjang, sebab itu kadang-kadang ada yang berhenti di tengan jalan.

Mengisi sebuah kematian atau menangisi sebuah kematian? Mengisi sebuah kematian semestinya perlu dengan memajukan sebuah kehidupan. Jika simpang yang panjang menjadi pilihan, mudah-mudahan sampai ke destinasi akhir jalan. Di situ kita lihat akan terisi sebuah kematian. Menangisi sebuah kematian pula bagaimana?

SEBUAH LIKU, SEBUAH PERHENTIAN
Itulah sebuah liku dalam jalan yang kita lalui, jika kita terus berhenti di persimpangan liku itu, maka kita telah tersasar jauh dari landasan asal. Cukuplah liku itu sekadar perhentian, menjadi kenangan dan peringatan, kerana kita perlu meneruskan perjalanan.

“… dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman” (Ali-Imran 3 : 139)

KERAJAAN HATI
Perbuatan dan amalan merupakan sebuah kerajaan. Hati adalah raja. Penasihatnya akal atau nafsu. Akal temannya iman, nafsu temannya syaitan. Jika raja jadikan akal sebagai bendahara, nafsu menjadi khadamnya, dan begitulah sebaliknya. Kerajaan hati sentiasa bergolak kerana penasihatnya sentiasa berperang. Jika akal sentiasa hendak menambah iman, nafsu akan kecundang. Jika nafsu sentiasa bertindak, syaitan menjadi penggalak.

Akal memilih jalan jauh kerana suka akan cabaran dan dugaan, nafsu suka jalan yang singkat memilih persimpangan yang dekat dan mudah. Jika hati kita tidak pandu dengan arah yang betul, akhirnya kita akan binasa dan sengsara. Maka sia-sialah perjalanan jauh atau dekat yang kita telah pilih.

Sahabat,
Akal yang bersih datang apabila hati kita bersih. Hati yang bersih pula tidak kita perolehi dengan begitu mudah. Untuk memilikinya perlu ada usaha yang berterusan yakni istiqamah dengan amal kebaikan yang dihujani dengan kesabaran serta digauli dengan keikhlasan. Maka pohonlah hidayah daripada Allah SWT.

Hidayah datangnya daripada Allah, kita memohon daripadaNya. Selain berdoa, dengan berfikir (dan beringat) maka InsyaAllah hidayahNya akan kunjung tiba yakni sebagai usaha sebagai seorang hamba.

KESIMPULAN
Sebak hati ini bila kita tiba di penghujung jalan bagi seorang teman. Bagi kita, jalan itu hanya sebuah liku, bila kita berhenti, maka kita kena teruskan pejalanan. Terasa pula kehilangan, apabila kita telah memulakan perjalanan yang jauh bersama-sama. tetapi semuanya jauh dari kudrat kita. Lalu perlu kita terima dengan hati terbuka...
Salam takziah penulis zahirkan buat sahabat-sahabat sekalian yang telah kehilangan ahli keluarga atau saudara mara terdekat mahupun rakan taulan. Jadikan pemergian mereka sebagai peringatan buat kita bahawa ajal dan maut tidak mengenal waktu dan usia. Tika kita bergembira atau berduka, menangis dan gelak ketawa, jika ajal maut sudah tiba, maka kita akan pergi jua. Tidak terlewat, hatta sesaat pun. Cuma iringi mereka dengan sedekah doa kita, agar mereka tenang di alam mereka.

Akhirul kalam, hati bukan tepat sarang kemaksiatan dengan hadirnya titik-titik hitam. Majukan sebuah kehidupan dengan mengingati sebuah kematian yang belum pasti bilakah akan datang. Orang yang bijak hatinya sentiasa ingat akan kematian. Lalu setiap ibadahnya umpama ibadah terakhir untuk dirinya. Kita bagaimana pula? Semoga kita tergolong daripada orang-orang yang beriman. InsyaAllah..
Sekian wallahu'alam...

2 Responses so far.

  1. Anonymous says:

    Salam Wasilah... Mengisi sebuah kematian tu ibarat mendoakan kesejahrteraan arwah. Bila menangisi kematian pulak tak salah. Jadi salah bila melarat kepada masalah sebab kita pula rasa besalah...

  2. Anonymous says:

    Semoga teman kita aman damai dan tergolong di antara orang beriman...

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=