“Gajah ini bentuknya panjang. Macam batang buluh. Tapi lembut sedikit berbanding buluh”, kata si buta yang meraba belalai gajah. “Eh! Biar betul kamu ni, aku rasa gajah ini bentuknya macam talam. Lebar dan luas”, bantah si buta yang meraba telinga gajah. “Aku yakin gajah tidak begitu. Gajah pada pengamatan aku bentuknya macam kawah nasi. Lebar dan gendut, macam-macam boleh isi”, tegas si buta yang meraba perut gajah.

Akhirnya ketiga-tiga orang buta itu berbalah sesama sendiri mempertahankan huraian masing-masing tentang rupa gajah berdasarkan bahagian yang diraba, tanpa meraba keseluruhan tubuh badan si gajah yang malang itu.

Analogi di atas memang popular dan selalu kita dengar atau baca. Kisah orang buta dengan gajah di atas seolah-olah membawa mesej kepada kita bahawa betapa pentingnya kita mencari kepastian atau kebenaran berdasarkan kepada sumber yang sahih agar kita tidak pula meraba-raba di dalam kegelapan.

TIGA GOLONGAN

Sesungguhnya di kalangan orang muslim sendiri, 98% bahkan lebih ramai lagi yang mendakwa diri mereka sebagai muslim dan mengaku Islam adalah agama mereka, tetapi mereka tidak mengetahui apakah dia muslim dan apakah dia Islam yang sebenarnya. Jika kita melihat kepada gelagat manusia dari segi i'tikad dan amalan, kita akan mendapati bahawa kita kebanyakannya terbahagi kepada tiga golongan:

Pertama:
Orang yang dengan terang-terangan mengagungkan kebebasan berfikir dan beramal. Setiap perkara dalam hidup mereka hanya berpegang kepada pendapat mereka sendiri dan hanya yakin pada apa yang diputuskan oleh fikiran mereka. Cara bekerja bagi mereka adalah hanya mengikut kepada pandangan mereka yang betul. Mereka tidak mempunyai hubungan langsung dengan mana-mana agama dan tidak mengikutinya.

Kedua: Terdiri daripada golongan yang zahirnya berpegang pada suatu agama yang tertentu, tetapi pada hakikatnya mereka mematuhi pendapat dan fikiran mereka sendiri. Mereka tidak pernah merujuk kepada agama untuk mengambil pegangan-pegangan atau peraturan hidup. Kadang-kadang mereka hanya menceduk pegangan agama yang mereka pegang mengikut kehendak hawa nafsu, kecenderungan dan keperluan diri dan hidup mereka. Mereka bekerja dengan cara sendiri kemudian cuba menyesuaikan agama mengikut rekaan mereka. Mereka pada hakikatnya bukanlah penganut agama, tetapi agama yang menjadi penganut hawa nafsu mereka.

Ketiga: Terdiri daripada golongan yang tidak menggunakan akal mereka, malah mengetepikan langsung akal. Lalu mereka pun merangkaklah di belakang manusia dengan mengikut mereka secara membuta-tuli; sama ada manusia yang diikuti itu adalah datuk nenek mereka atau orang-orang yang semasa dengan mereka.

BEBAS BERFIKIR DAN BERAMAL
Adapun golongan yang pertama mereka tidak memilih orang yang membawa cahaya sebagai pemandu bagi mereka dan di tangan mereka sendiri juga tidak mempunyai cahaya yang sebenar untuk menyuluh jalan hidup mereka. Mereka tidak ubahlah seperti melontar benda yang tidak ada atau meraba di dalam gelap-gelita. Tidak boleh melangkah ke mana-mana atau akan terjerumus ke jurang bahaya kerana mereka hanya mengagak-agak sendiri tanpa suatu kepastian. Mereka menghadapi dua kemungkinan; sama ada salah atau betul, tetapi lebih dekat kepada kesalahan.
“Dan orang-orang yang menyeru sekutu-sekutu (sembahan-sembahan) selain Allah, tidak mengikuti suatu keyakinan kecuali prasangka belaka. Dan mereka hanyalah berdusta.” ( Surah Yunus: 66)

DUNIA ATAU AGAMA PADA SATU SUDUT
Pendukung golongan kedua di zaman turunnya Al-Quran ialah Bani Israel yang mendakwa menjadi pengikut Nabi Musa a.s. dan berpegang pada Taurat, tetapi pegangan dan amalan mereka kebanyakannya berlawanan dengan pimpinan Musa a.s.
dan ajaran Taurat. Mereka tidak segan silu dengan penyelewengan mereka itu. Mereka bukan memperbetulkan fikiran dan amalan mereka. Mereka menyembunyikan ajaran Taurat yang asal dan menggantikan di tempatnya fikiran mereka sendiri seolah-olah itulah pengajaran yang diturunkan.

Orang-orang yang cuba memberikan kesedaran kepada mereka dari berterusan dalam kesesatan dan maksiat dan mengajak mereka kembali mengikut ajaran Allah yang berlawanan dengan hawa nafsu mereka disambut dengan celaan dan cacian sehingga kadang-kadang ada yang dibunuh. Kepada mereka ini Allah berfirman, yang mafhumnya:

“Mereka suka mengubah perkataan Allah dari tempat-tempatnya dan mereka sengaja melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya dan kamu (Muhammad) sentiasa akan melihat kekhianatan dari mereka kecuali sedikit di antara mereka yang tidak berkhianat.” (Surah Al-Maaidah: 13)

BERAKAL TETAPI TIDAK BERFIKIR
Janganlah letakkan diri kita pada golongan yang ketiga. Sesungguhnya orang-orang yang tidak menggunakan akal dan fikiran mereka dan tidak tahu membezakan dengan sendiri antara yang betul dan yang salah, malah mengikut sahaja orang lain dengan membuta tuli telah dihukum oleh Al-Quran, mafhumnya:

“Mereka tuli, bisu dan buta. Mereka tidaklah akan kembali ke ialan yang benar.” ( Surah Al-Baqarah: 18)
“Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Surah Al-A'raaf: 179)

MUSLIM
Sesungguhnya orang yang berkata: “Aku orang yang beriman”, kemudian selepas itu dia meragui dan mengungkit-ungkit apa yang didatangkan daripada Allah maka ertinya dia telah menolak dakwaannya sendiri dan membatalkan apa yang telah diucapkannya. Dia tidak mengetahui bahawa iman dan ragu adalah dua perkataan yang berlawanan yang tidak mungkin boleh dicantumkan. Setiap peraturan dan disiplin itu dibina di atas asas taat dan patuh, sedangkan keraguan dan ungkitan tidak mendatangkan sesuatu keuntungan kecuali kekacauan dan kezaliman. Di situlah letaknya kesederhanaan.

Maka jalan yang sederhana dan stabil inilah yang dinamakan sebagai 'ISLAM' dan golongan yang mengikuti jalan inilah yang digelar 'MUSLIM'. Sesungguhnya Islam bererti tunduk, patuh dan redha. Dan muslim ialah orang yang patuh kepada perintah pemerintah dan larangan pelarang dengan kepatuhan yang penuh redha. Maka dengan sendirinya keadaan ini menunjukkan bahawa tidak dibangkitkan golongan yang keempat ini di dunia berasingan dari tiga golongan di atas, serta jalan-jalan mereka yang sesat, kecuali supaya mereka mengikuti perintah Allah dan Rasul dan tunduk kepadanya.

Sesungguhnya, tidak harus bagi golongan ini mengikuti akalnya pada setiap urusan, tidak harus baginya mempermainkan hukum Allah dengan mengambil apa yang sesuai dengan nafsunya dan meninggalkan apa yang tidak sesuai, tidak harus baginya melemparkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul ke belakang dan melencong mengikut manusia-manusia dengan membuta tuli, sama ada manusia-manusia yang masih hidup atau pun yang sudah mati.

TIMBAL TARA
Wahai sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, adakah muslimnya kita pada hari ini hanya tersurat sepertimana kamus bahasa definisikan: individu yang memeluk agama Islam? atau kita hanya menempelkan Islam sebagai tag untuk diberi penghormatan? Penghormatan daripada siapa? Jika kita yakin bahawa kita adalah sebenar-benar muslim maka kita kena tunduk kepada pemerintah yang tiada keraguan bidang kuasaNya, patuh kepada setiap arahan dan laranganNya dan redha akan ketentuan yang diberikanNya kepada kita.

Akhirul kalam, ana ingin menyeru kepada rakan-rakan sekalian termasuklah diri penulis sendiri, janganlah kita meletakkan nilai agama kita itu pada satu sudut tertentu, seolah-olah kita telah ‘berkata’ dengan perbuatan kita bahawa Islam itu tidak sempurna kerana tidak mencakupi suatu perkara yang kita kerjakan.


Islam itu Indah, Islam itu Fitrah.

Setiap perbuatan baik itu adalah ibadah, jika kita sandarkan kerana Allah.

Wallahua’lam.


-Daripada Apa Ertinya Anda Seorang Muslim oleh Sayyid Abu al-A’la Al-Maududi

One Response so far.

  1. Oleh itu apabila ada pemimpin yang mengeluarkan kenyataan memperingatkan kita darihal asas dan prinsip asal perjuangan kita, sepatutnya kita terima dan sama-sama akur. Biar kita beringat pada waktu senang jangan sebaliknya.

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=