KETIDAKPASTIAN YANG TIDAK DISENGAJAKAN
Menanti sebuah malam.

Menanti atau mencari dan memburunya?

Lailatul Qadar adalah malam yang pasti datang. Jika menantinya itu hanya dengan sekadar berjaga malam, maka orang-orang yang bersekang mata tanpa berbuat apa-apa itulah yang beruntung dilintas kehadiran malam itu. Sesungguhnya ia bukan malam penantian, tetapi malam pemburuan dan pencarian.

Entahlah di malam 21, atau malam 23, atau malam-malam ganjil yang lain… Lailatul Qadar dianugerahkan. 9 Ramadhan yang ditempuh Rasulullah SAW di sepanjang hayat Baginda selepas pensyariatan ibadah puasa, menyebabkan riwayat-riwayat tentang Lailatul Qadar hanya tersimpul sebagai suatu anugerah yang diberi pada 10 malam terakhir Ramadhan itu.

“Mengapa tidak ditetapkan sahaja satu malam yang khusus bahawa itulah malam Lailatul Qadar?”, ada yang bertanya.

“Anta cadangkan malam yang mana?”, saya pun bertanya seada-adanya.

“Malam 27 barangkali”, katanya.

“Maka beruntunglah penjual minyak tanah dan pelita untuk malam tujuh likur itu ya!”, saya bergurau.

“Eh, ke situ pulak perginya…”, kata beliau.

KEKELIRUAN E-BACAAN (ANTI HADITH)
Penulis pernah terbaca sebuah artikel yang dikarang di halaman web e-bacaan yang menolak hadith-hadith Nabi SAW termasuk hadith berkaitan Lailatul Qadar. Ulasan penulisnya mengatakan bahawa penantian atau pencarian Lailatul Qadar itu adalah sia-sia kerana kesemua hadith berkaitan, bertentangan di antara satu sama lain. Walhal hadith-hadith itu adalah himpunan dialog dan penjelasan Nabi SAW tentang Lailatul Qadar pada sekurang-kurangnya 9 kali ketibaan Ramadhan di sepanjang hayat Kerasulan Baginda SAW. Setiap hadith itu diungkapkan pada tahun-tahun yang berbeza, bukannya saling bertentangan seperti yang ‘terfahamkan’ oleh golongan anti hadith ini.

Soalnya, bagaimana kalau ketidakpastian itu suatu kesengajaan? Ia bukan kejahilan tetapi ada rahsia besar di sebalik semuanya?

MAKAN GAJI VS KERJA SENDIRI
Lebih mudah untuk kita analogikan seorang yang makan gaji dengan seorang yang berniaga sendiri. Orang yang makan gaji, pendapatannya tetap setiap hujung bulan. Sama ada dirinya produktif atau tidak, hasilnya sama. Malah pada bulan Ramadhan ini, dengan membanyakkan tidur di pejabat dan pulang awal setiap hari, hasil pendapatan tetap sama. Sesuatu yang tetap dan pasti, rupa-rupanya boleh menjejaskan kesungguhan dan produktiviti, seiring dengan kurangnya rasa bersyukur atas kurniaan. Berbeza pula dengan yang berniaga sendiri. Penghasilannya amat bergantung kepada kesungguhan, kerajinan dan produktiviti masing-masing. Kuat bekerja banyak hasilnya. Sedikit berusaha, terjejaslah pendapatannya.

Ketidakpastian adalah rahsia kesungguhan dan kerja keras yang diperlukan. Ketidakpastian + usaha keras = kemajuan, itu sifirnya.
Demikianlah hikmah sebuah ketidakpastian.

LIPATGANDA
30 hari yang terlalu panjang itu mungkin berat untuk sebuah pencarian. Justeru Islam memberitahu bahawa tingkatkan usaha mengejar Lailatul Qadar yang tidak pasti itu pada malam-malam 10 yang terakhir. Lantaran ia hadir pada malam-malam yang tidak ditentukan, manusia yang ada azam untuk berjaya akan melipatgandakan usaha untuk berhasil menemuinya. Malam Lailatul Qadar. Kesungguhan itulah pelengkap proses Taqwa.

Kesungguhan yang diperlukan untuk sebuah kehidupan yang pasti ada jangka masa, tetapi persoalan bila itu dibiarkan sebagai sebuah ketidakpastian. Mati itu tentu, masanya tidak pasti. Antara ketentuan dan ketidakpastian ajal, seorang mukmin memajukan sebuah kehidupan.
Memikirkan peluang beramal berakhir pada jangka waktu yang tidak pasti, Nabi SAW memberi ingatan kepada kita agar mengerjakan solat dengan “SOLAT PERPISAHAN”. Bayangkan setiap solat yang didirikan sebagai solat terakhir kita, kerana mati itu tidak pasti. Kerana kita mati sentiasa di antara dua solat… Ketidakpastian yang mendesak kesungguhan juga perubahan.

SEPARUH MASA KEDUA : PIALA TAQWA

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah ayat 183)

Sahabat,

Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?
Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena. Maksiat kita tinggalkan, tapi kebaikan tidak kita lakukan. Tambah-tambah lagi jika maksiat ditinggalkan hanya semata-mata “rakan syaitan jin dan manusia” tertambat dan bukannya kerana dorongan mahu mendampingi Tuhan. Jangan lupa, buat sesuatu kerana selain Allah itu riya’, meninggalkan sesuatu kerana selain Allah juga adalah riya’.

Andaikata kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan, mereka tidak henti-henti menyerang sedangkan pertahanan kita semakin keletihan. Tambahlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kemenangan kita itu berada di zon selamat, bukan sentiasa di atas urat.

Tambah-tambah dekat nak Raya, penyokong pasukan nafsu semakin bersesak-sesak masuk ke gelanggang. Pekiknya makin menggerunkan. Jangan pula kalian lemah semangat kerananya. Kita pasukan Tuan rumah, harus menang sekurang-kurangnya di gelanggang sendiri.

SEPARUH MASA KEDUA: DAHULU KINI ATAU AKAN DATANG?
Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, masih lemah ditinggalkan masa, kamu di ambang kekalahan. Piala Taqwa itu bakal jatuh ke tangan orang lain, iaitu ke tangan Pasukan Nafsu yang memang diketahui tidak kenal dan kenang nilai Piala Taqwa. Ia hanya mahu mengalahkan pasukan kita, ia hanya mahu melihat Piala Taqwa itu tidak berada di tangan kita.

Apakah musim depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. Masa lalu telah berlalu, masa hadapan tak pasti kesampaian. Dan masa sekarang yang ada di tangan kita, hanya tinggal separuh masa kedua… apakah masih ada ruang untuk berlengah?

“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

KESIMPULAN
Akhirnya perlu kita sedar berbakinya beberapa hari lagi sebelum Syawal mengambil posisi, perlu kita cari titik-titik perubahan yang mungkin tercerna daripada markas bulan tarbiah ini. Tidak nampak dari pandangan mata kasar, maka kita perlu melihat melalui deria keenam, mata hati. Jika masih tidak kedapatan, mungkin Ramadhan kali ini hanya liku-liku daripada masa biasa dalam norma kehidupan seharian. Apakah kita tidak merasakan suatu suasana yang terlalu berbeza daripada bulan Ramadhan ini daripada suasana bulan-bulan yang lain? Maksudnya gejolak nafsu-nafsi kita yang kurang terserlah daripada luar kebiasaan. Kecuali bagi mereka yang telah betul-betul daripada tarbiah oleh makhluk yang dibelengu oleh Allah SWT.

Penulis mengharapkan agar Ramadhan kali ini benar-benar memberi kepuasan. Mungkin dari sudut ibadahnya, atau dari sudut kebergantungan dan pengharapan kepada Tuhan, atau dari sudut amalan dan perbuatan, mahupun dari sudut ukhuwah kepada ahli keluarga dan jiran tetangga. Tidak kira di mana jua kita berada, terdiri daripada bangsa apa, mahupun keturunan mulia atau hina, jika dia mengaku sebagai Islam, hanya satu sahaja tempat yang kita semua idam-idamkan, iaitu SYURGA!

AKHIRUL KALAM penulis ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua pembaca yang budiman sekalian. Semoga hasil nukilan yang penulis kongsikan kepada kalian mampu memberi sedikit ruang untuk kita membuat sedikit anjakan paradigma dalam meniti kehidupan seharian. Buat yang merancang untuk balik ke kampung halaman, penulis doakan agar selamat pergi dan selamat kembali. Buat teman-teman, rakan-rakan dan sahabat handai yang tidak berpeluang untuk balik berhari raya bersama insan tersayang, kirim-kirimkan khabar dan nota kasih sayang buat mereka. Sekian.

Setiap perbuatan baik adalah ibadah, jika kita sandarkan kerana Allah. Wallahua’lam...

sumber SAIFULISLAM.COM

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=