Facebook Cover Picture. Inspires quote from [Kredit]
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih..

Saya mengakui saya memang 'naif' orangnya. Mudah dibuli zahirnya mahupun fizikalnya. Mudah mempercayai orang dan sangat mudah berkecil hati. Sedaya upaya saya cuba untuk nampak tabah dan kuat. 

Apabila menerima musibah (ditipu, dibuli, kemalangan, lupa dan sebagainya) perkara pertama yang akan saya lakukan adalah mengucapkan kalimah syukur, Alhamdulillah. Kemudian bangkit bangun (mengubah posisi badan) lalu cuba untuk senyum.

Saya cuba untuk memadamkan perasaan marah sebaik mungkin. Kadang-kadang kalimah tasbih dan takbir saya susuli dengan harapan supaya jiwa kembali waras dan tenang.

OPTIMIS
Alhamdulillah seorang Islam. Sentiasa dalam misi memperbaiki diri ke arah mendapat redha Illahi.

Membina karekter dan paradigma positif memang mengambil masa apatah lagi untuk sentiasa bersangka baik dalam semua perkara; optimis.

Di dalam semua keadaan sekalipun, kita sebenarnya sedang diuji. Ujian tersebut bukan bermakna musibah semata-mata, malah ni'mat atau kebaikan pun boleh menjadi ujian.

Kebaikan yang diterima menyebabkan kita semakin jauh kepada Allah seperti kisah Qarun, dan Fir'aun. Musibah atau bala yang menimpa diri mendekatkan lagi kebergantungan diri kepada Allah seperti kisah Nabi Ayub A.S.

SYUKUR
Dalam situasi apa pun yang kita hadapi, semuanya dalam pengetahuan Allah. KIta tahu rancangan Allah itu adalah 'ultimate plan'. Malah seringkali kita jadikannya ayat klise untuk menenangkan diri atau orang lain.

Tetapi sejauh manakah pengertiannya dalam langkah penterjemahan kanvas kehidupan kita? Jika kita membenarkan perkataan kita, jangan hanya pada lidah semata-mata. Biarlah ia disambut oleh hati dan akal budi diri serta dilaksanakan melalui tulang empat kerat kita.

Barulah kena pada makna 'Allah mempunyai rancangan lebih baik untuk kita'. Jangan hanya tahu berkata-kata tetapi tidak tahu maknanya.

Apabila menerima musibah, bersyukurlah sesungguhnya Allah mengingatimu. Maafkan mereka yang menzalimimu dan doakan kebaikan untuk mereka seperti Abdullah bin Mas'ud. Akui kebesaran Allah yang Maha Besar atas ujian-Nya dengan melihat ia sebagai penghapus dosa kita; redha.

Jika memperoleh kebaikan, bersyukurlah kerana Allah menghargaimu. Kongsikanlah kebaikan itu sebaik mungkin; derma, sedekah atau hadiah seperti sahabat baginda Rasulullah SAW, Saidina Uthman Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Sesungguhnya tidak berkurang harta yang didermakan bahkan betambah keberkatan!

INSYA-ALLAH
Firman Allah mafhumnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang yang tidak kamu kerjakan?" [As-Saff 62:02]
Semoga hati yang mudah 'berkecil hati' ini sentiasa mendambakan Allah dalam kehidupan bukan kepada makhluk yang serba kekurangan. 


Wallahu'alam


Kritikanmu, Pujian untukku!

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=