Saya suka mencatat apa sahaja yang saya jumpa menarik. Cerita, peristiwa, buku, kata-kata dan sebagainya. Hatta gambar pun saya catat. Sudah tabiat rasanya. Jika tidak ada buku conteng atau catatan di sisi, ‘note pad’ ditelefon bimbit pun jadilah.

Ada tiga kisah catatan yang saya ingin kongsi untuk direnungkan bersama. Semunya saya perolehi dalam satu hari beberapa minggu lepas.

Kisah Satu : Kanak-kanak zaman sekarang

Syawal itu satu bulan. Banyaklah undangan ke majlis rumah terbuka dibuat. Percuma, kenyang, dan Alhamdulillah! Banyak orang, banyak ragam dan banyaklah fesyennya.

Ketika makan nasi putih bersama ayam masak merah dan coleslaw ketam  (crabslaw), saya terlihat perkumpulanan budak-budak sedang makan sambil bermain. Di antara mereka wujud dua kumpulan berlainan jantina yang menarik perhatian saya.

Kumpulan perempuanya cantik mengenakan baju kurung dan tudung. Baju kurung bukan sembarang kurung, juga tudung bukan sekadar tudung. Nipis, singkat dan ketat!

Kumpulan lelakinya pula bergaya dengan mengenakan baju tradisional Melayu. Salah seorang daripada mereka berambut panjang  pada bahagian hadapan sehingga menutup matanya. Ada pula rambutnya diwarnakan perang.

Adakah kita faham istilah ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’?


Kisah Dua : Kanak-kanak zaman teknologi maklumat

Sebelum pulang ke rumah, saya dibawa lencong ke pusat membeli belah di bandaraya Kota Kinabalu. Kawan serumah mahu mencari dan membeli bateri telefon bimbitnya yang rosak.

Ketika sedang melihat deretan telefon bimbit pintar disalah sebuah kedai yang ada, saya berdiri hampir dengan tiga beranak  yang sedang berbual dengan jurujual di kedai tersebut.

Seorang ibu muda dengan dua anaknya. Si ibu nampak seperti berumur lewat dua puluhan bersama anak perempuannya berumur belasan tahun serta anak lelakinya yang saya yakin murid sekolah rendah.

Pandangan dan fikiran saya terganggu dengan perbualan mereka. Cuba bayangkan, yang banyak bertanya bukanlah si ibu dan si kakak, tetapi si adik yang jauh lebih muda kepada jurujual di kedai tersebut.

Lebih menghairankan saya ialah, soalan-soalan yang keluar dari mulut budak itu lansung tidak menggambarkan umurnya. Malah si jurujual tekun menjawab dan melayan karenah budak itu. Saya terkesima.

Sebelum mereka  berlalu pergi, saya dikejutkan lagi oleh tiga beranak ini. Rupa-rupanya, setiap daripada mereka masing-masing memiliki Ipad dalam dakapan!

Sungguh, saya tidak percaya dengan apa yang saya dengar dan lihat!


Kisah Tiga: Remaja zaman tanpa sempadan

Sebelum keluar dari pusat membeli belah tersebut ke tempat parkir kereta, saya diketemukan dengan dua orang remaja cukup aneh pada gaya penampilan mereka.

Kami berselisih. Saya ke pintu keluar dan mereka masuk ke dalam. Langkah saya terhenti. Saya betulkan kedudukan kaca mata saya, kemudian berpaling sambil mengerutkan kening. Mata saya menyoroti langkah mereka.

Saya tidak dapat pastikan adakah benar apa yang saya saksikan ketika itu.

Mereka mengenakan pakaian sedondon berwarna hitam. Tertulis dibaju mereka ayat Inggeris berwarna merah menyatakan jantina mereka.

“I’m a boy” dan “I’m a girl”.

Saya yakin bahawa yang berambut panjang kemas melepasi bahu berseluar jeans adalah seorang remaja lelaki. Seorang lagi menggayakan rambut potongan lelaki, berskirt pendek atas lutut dan dia adalah remaja perempuan berdasarkan susuk tubuhnya. Kedua-duanya memakai kasut but.

Saya menggelengkan kepala, dan mengerlipkan mata beberapa kali. Perasaan hairan, sangsi, terkejut dan takut bercampur baur dalam diri saya.

Inilah remaja kita pada masa kini. Saya cuba berfikiran positif, menolak semua kebarangkalian negatif terhadap mereka. Saya optimis, mereka mungkin ada sebab tersendiri.

Kisah tamat.

Tiga kali 'kisah' membuatkan saya terfikir betapa tidak pedulinya kita tentang peredaran zaman menggugat nilai fitrah manusia; Islam.

Mudahan kita terhindar daripada penyakit tak pedulisme, menolak resam 'menjaga tepi kain orang' dan akhirnya tidak hidup seperti 'katak di bawah tempurung'.


Islam menuntut umatnya menjadi orang kaya, mengukir arus kemajuan dan mencetak arus kemodenan di atas kanvas kehidupan di Bumi ini. Namun, perlu diingat. Semuanya perlu mengikut acuan pencipta Maha Bijaksana, Allah SWT iaitu Islam.

Biarlah kita bertatih, sedikit demi sedikit melakukan perubahan. Tekun dan yakin atas perlaksanaannya; istiqamah. Saya percaya, yang sedikit itu lebih baik menjadi amal daripada hanya menjadi 'buku di atas rak', berhabuk dan tidak dibaca habis dimakan anai-anai.

Wallahu'alam.

Nota:
  1. Saya masih lagi terkejut dengan kisah kedua sampai ke hari ini.
  2. Saya sokong perlaksanaan Hudud di Malaysia (Muktamad!)
  3. Saya sudah mendaftar sebagai pemilih (pengundi), anda bila lagi?
Kritikanmu, Pujian untukku!