Antara dosa yang tidak diampuni oleh Allah: SYIRIK!

Jika kita percaya akan wujudnya makhluk diberi nama hantu, syaitan, bunian dan jin maka ia tidaklah bertentangan dengan ajaran Islam. Islam mengajar kita untuk mempercayai perkara-perkara ghaib kerana ia disebut dengan jelas di dalam Al-Quran. 

Namun jika kita percaya kepada cerita (rekaan atau khayalan), upacara, pantang larang, ramalan, tilikan, dan pemujaan tertentu boleh mendatangkan mudarat atau manfaat maka ia sama sekali tertolak daripada ajaran Islam. 

Itulah yang kita kenali sebagai ‘khurafat’ dan ‘azimat’

Islam mengajar kita bahawa hanya Allah yang boleh mengurniakan mudarat dan manfaat kepada semua makhluk ciptaan-Nya. Maka semua perkara yang berkaitan dengan amalan-amalan sedemikian rupa perlu dihindari dan diteliti supaya akidah (kepercayaan) kita terpelihara. 

‘Khurafat’ ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam.

Berdasarkan takrif di atas, khurafat merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut dan dusta. 

Manakala menurut Kamus Dewan maksud ‘Azimat’ ialah: 

“Barang (tulisan) yang dianggap mempunyai sakti dan dapat melindungi pemakainya.” 

Azimat ialah suatu bentuk permohonan untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau untuk memudaratkan orang lain dengan menggunakan objek-objek dan ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa-kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semulajadi apabila dijampi atau dipuja. 

Bomoh, dukun, tangkal, tilik nombor, tilik nasib, menurun nombor, mandi safar, dan banyak lagi ritual atau adat adalah sebahagian daripada amalan masyarakat kita. Kebanyakkan daripadanya adalah jauh daripada ajaran Islam.

Filem, drama, animasi, komik dan manga yang terdapat dalam media massa sama ada cetak dan elektronik masa kini banyak mengandungi unsur-unsur karut marut dan khurafat. Malah secara halus memasak kepercayaan berkenaan kepada kita. 

Namun perkara yang membimbangkan saya adalah apabila bahan-bahan demikian menjadi kegemaran golongan remaja dan kanak-kanak. Saya yakin dan pecaya ia sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran mereka. 

Jika akidah umat Islam rapuh, mudah sahaja perkara-perkara begini mengisi jiwa kosong mereka. Lantas membentuk paradigma dan menjadi tatacara hidup, meresap sebagai adat atau budaya. 

Unsur-unsur tahyul dan karut marut seolah-olah menjadi hidangan hiburan pilihan utama kepada kita. 

Ingat. Islam perlu menjadi acara, tentatif, resipi, panduan, pedoman, pelan, sistem, kerangka dalam kehidupan kita keseluruhannya. 

Ilmu akidah perlu kita dalami seperti kita mempelajari ilmu-ilmu lainnya, malah ilmu akidah seharusnya adalah keutamaan kita. 

Sejauh manakah kebergantungan kita kepada Allah? Kita perlukan Islam, bukan sebaliknya.

Kritikanmu, Pujian untukku!

NOTA:
  • Bacaan lanjut di sini.
  • Lagu 'I Believe' oleh Irfan Makki feat Maher Zain. Hayati lirik lagunya

Wallahu'alam...


Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=