Agak lama juga saya berehat daripada menulis untuk blog ini. Rasanya seperti baru kelmarin. Banyak perkara baru yang telah saya pelajari atau perolehi sepanjang tempoh tersebut. Ilmu daripada pengalaman, juga daripada pengetahuan. Tiga tahun menuntut ilmu dalam bidang yang khusus, memang meletihkan, tetapi penuh dengan warna kehidupan.

Saya seorang pelajar komputer sains khusus dalam bidang kejuruteraan perisian. Di peringkat ijazah ini, kami diajar tentang perkara-perkara asas bahasa pengaturcaraan (programming language), asas pembangunan perisian dan asas sistem rangkaian dan jaringan. Pada akhir semester pengajian, setiap pelajar komputer sains wajib menjalani latihan industri. Sepanjang tempoh berkenaan, para pelajar akan merasai pengalaman sebenar sebagai seorang ‘Jurutera Perisian’.


Walaupun saya tidak memperolehi rezeki untuk menjalani latihan industri disebuah organisasi yang berkaitan dengan perisian, pengalaman yang saya perolehi tetap memberi pulangan kepada diri.

Semua ilmu dan pengalaman yang ditimba hampir tiga tahun di universiti tidak saya sia-siakan. Kadang-kadang terlintas juga sesalan dihati kerana sikap sambil lewa saya pada pelajaran, kerana baru saya sedar saat ini ilmu tersebut diperlukan.

Maka pada titik sesalan tersebut saya bertanya kepada hati:

‘Adakah saya belajar untuk peperiksaan, atau untuk masa hadapan?’.

>Menduduki peperiksaan dan memajukan pelan masa hadapan merupakan dua elemen yang bersangkutan. Bagi sesetengah orang, gagal dalam peperiksaan mahupan gagal untuk menduduki peperiksaan menjadi sebab masa hadapan gelap.

Beberapa perkara perlu kita perhalusi ketika kita membuat kesimpulan. Membuat kesimpulan akhir dengan sedemikian rupa hanya membawa kepada penyesalan dan tidak menguntungkan.

Suka untuk saya mengajak semua untuk melihat daripada beberapa sudut pandang yang berbeza.

Peperiksaan saharusnya kita jadikan sebagai satu medan untuk membuat koreksi diri sejauh mana kita menyerap ‘faham’ akan konsep dan dasar ilmu yang kita pelajari. Ini termasuklah secara teorikal mahupun praktikalnya.

Jika kita tanya kepada orang yang belajar semata-mata untuk peperiksaan akan ilmu yang telah mereka pelajari setelah peperiksaan selesai, mereka akan kata ‘tidak tahu’ atau ‘telah lupa’ kerana ilmu tersebut telah mereka tinggalkan bersama kertas jawapan ketika melangkah keluar daripada dewan peperiksaan.

Katakan orang ini lulus peperiksaannya, maka ilmu yang dipelajarinya menjadi sia-sia. Namun jika dia gagal?

Situasi sangat berbeza jika kita ini jatuh pada golongan yang belajar adalah untuk masa hadapan. Jika kita gagal di dalam peperiksaan sekalipun, kita tidak merasa tercela malah bersyukur kerana tahu di mana kedudukkan silap kita. Apatah lagi jika kita lulus peperiksaan tersebut.

Ilmu dipelajari menjadi pelaburan untuk masa hadapannya.

Kritikanmu, Pujian untuku!

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=