BIODATA KEKASIH ALLAH SWT
Nama diberi adalah MUHAMMAD BIN ABDULLAH BIN ABDUL MUTALIB BIN HASYIM. Dilahirkan pada 20 April 570 M bersamaan dengan 12 Rabiulawal Tahun Gajah di Mekah Al-Mukarramah. Ayah baginda bernama Abdullah Bin Abdul Mutalib dan ibunya pula bernama Aminah Binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhra.

Baginda adalah sebahagian daripada Bani Hasyim iaitu keturunan yang amat dihormati dan disegani oleh penduduk Mekah pada ketika itu. Sewaktu lahirnya nabi ke dunia ini, api di biara Madusi terpadam dengan kuasa Allah SWT walaupun sebelum ini dikatakan api tersebut tidak pernah terpadam. Istana yang megah dari kisah Parsi turut runtuh dan Mekah diterangi oleh cahaya putih seolah-olah bintang-bintang dilangit sedang menyambut akan kedatangan seorang insan yang mulia di sisi Allah SWT.

Di dalam kitab sirah nabawiyah karangan Syeikh Ali Mansur menceritakan bahawa Abu Lahab telah menyembelih 100 ekor unta dan menjamu kaum kerabat dan pembesar-pembesar Quraisy di atas kelahiran nabi. Abu Lahab merupakan bapa saudara baginda yang paling gembira sekali di atas kelahiran nabi, walaupun kemudiannya dialah di antara penentang paling kuat baginda. Baginda turut dibawa tawaf mengelilingi Ka’abah sebanyak tujuh kali oleh datuknya, Abdul Mutalib sebagai tanda syukur ke atas kurniaan seorang cucu lelaki sebagai ganti kepada anak lelaki kesayangannya Abdullah.

INSAN TERPUJI
Nama Muhammad diberi oleh datuk baginda, Abdul Mutalib kepada baginda. Kaum Quraisy ketika itu berasa hairan akan nama yang Abdul Mutalib pilih untuk cucunya. Kaum Quraisy Mekah bertanya kepada Abdul Mutalib kenapakah tidak dipilih nama baginda itu dari nama-nama nenek moyang mereka, lalu datuk baginda mejawab;

"Kuinginkan dia menjadi orang yang Terpuji bagi Tuhan di langit dan bagi makhlukNya di Bumi,".

Benarlah kata-kata Abdul Mutalib bahawa baginda sesungguhnya merupakan insan yang terpuji di sisi Allah SWT malah di sisi umat seluruh alam. Baginda turut dikenali oleh kaumnya sebagai pemuda yang mempunyai budi pekerti yang tinggi sehingga diberi gelaran Al-Amin.

YATIM PIATU
Rasulullah telah menjadi yatim sejak baginda masih di dalam kandungan lagi. Ketika ibu baginda mengandungkan nabi, Abdullah telah jatuh sakit di Madinah dan meninggal dunia di sana. Sudah menjadi adat dan kebiasaan golongan bangsawan arab pada ketika itu, anak yang baru dilahirkan akan diserahkan kepada ibu susuan. Ibu susuan baginda adalah Halimatus Sa’diah Binti Abi Dhua’ib. Pada mulanya, Halimatus Sa’diah tidak mahu memilih baginda sebagai anak susuan kerana baginda adalah yatim, namun kerana tiada pilihan, maka Halimatus Sa’diah menerima baginda dengan redha.


Selepas lima tahun bersama ibu susuan baginda, Halimatus Sa’diah menyerahkan semula baginda kepada Aminah dengan berat hati. Namun kasih sayang ibu baginda tidak berpanjangan kerana Aminah turut meninggalkan baginda.

Di dalam perjalanan pulang dari menziarahi kubur ayah baginda, Aminah telah jatuh sakit di Abwa’ dan meninggal dunia di sana. Baginda berasa sedih hati di atas pemergian kedua ibu bapanya. Maka baginda telah menjadi yatim piatu. Kemudian baginda dijaga oleh datuknya Abdul Mutalib. Ketika baginda berusia lapan tahun, baginda menempuhi satu lagi peristiwa duka apabila datuknya pula meninggal dunia. Akhir sekali baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib dengan penuh kasih sayang.

ZAMAN REMAJA
Abu Talib merupakan seorang peniaga. Baginda telah banyak mengikuti bapa saudaranya pergi berniaga. Di dalam perjalanan hendak ke Syam untuk berniaga, mereka telah berjumpa dengan Rahib Bahira yang telah menyaksikan akan tanda-tanda kenabian baginda lantas menasihati Abu Talib supaya menjaga baginda dengan berhati-hati.

Di antara perang awal yang baginda sertai adalah perang Fajar yakni peperangan yang berlaku di dalam bulan suci. Perang ini berlansung selama empat tahun. Selain mengikuti Abu Talib pergi berniaga, baginda turut bekerja sebagai pengembala kambing. Baginda melakukan tugasnya dengan penuh amanah dan tidak pernah mengeluh. Pada usia nabi menjangkau 25 tahun, baginda bekerja dengan seorang bangsawan yang mempunyai perniagaan yang maju iaitu Siti Khadijah binti Khuwailid.

NABI BERKAHWIN
Siti Khadijah amat suka kepada baginda kerana sifat amanah baginda. Malah dengan peribadi baginda ini, perniagaannya mendapat keuntungan yang lebih banyak. Akhirnya, perasaan suka tersebut telah bertukar menjadi cinta kepada baginda. Siti Khadijah telah menghantar Nafisah binti Manbah untuk menyatakan hasratnya menawarkan diri kepada baginda untuk menjadi teman sehidup semati.

Tawaran itu disambut oleh baginda dan Siti Khadijah dilamar oleh baginda melalui bapa saudara baginda, Amru bin Asad. Pada ketika itu, baginda berumur 25 tahun dan Siti Khadijah berumur 40 tahun. Maka bermulalah lembaran baru di dalam kehidupan baginda.

WAHYU PERTAMA
Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada baginda melalui Jibril adalah Surah Iqra’ ayat satu hingga lima pada hari Isnin, 17 Ramadhan. Pada ketika itu, baginda sedang beruzlah(mengasingkan diri) di gua Hira’. Setelah baginda menerima wahyu pertama tersebut, baginda bergegas pulang ke rumah dalam keadaan menggigil. Baginda terus mendapatkan Siti Khadijah seraya berkata, “Selimutkan aku, selimutkan aku.” Bermula daripada saat ini, maka bermulalah kisah hidup baginda sebagai pesuruh Allah SWT yang telah di uji dengan pelbagai ujian dan rintangan.

IKTIBAR DAN PENGAJARAN
Rasulullah SAW telah berjuang selama 23 tahun dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Rasulullah SAW di utuskan bukan untuk kaumnya sahaja tetapi merupakan utusan kepada seluruh alam dan merupakan nabi dan rasul terakhir yang Allah SWT utuskan ke muka Bumi ini.

Perjuangan baginda membawa manusia untuk mentauhidkan Allah SWT dan memperelokkan akhlak manusia. Persoalan yang timbul pada hari ini adalah, adakah kita terkesan dengan kisah perjuangan kekasih Allah ini? Tepuk dada tanyalah iman.

Sempena dengan sambutan MAULIDUR RASUL yang kita sambut pada setiap 12 Rabiulawal setiap tahun, marilah bersama-sama kita menyelami diri kita, adakah ada di dalam diri kita ini ruang yang kita letakkan perasaan CINTA kepada Nabi Muhammad SAW. Pernahkah kita mengamalkan sunnahnya?

TAIF
Pernah satu peristiwa ketika nabi berdakwah di bumi Taif, baginda dibaling dengan batu dan najis. Tidak pula terkesan pada baginda akan keluh kesah kerana penduduk di bumi Taif itu tidak menerima akan dakwahnya apatah lagi berdendam dengan mereka. Sebaliknya baginda mengatakan bahawa penduduk Taif tersebut belum menerima hidayah daripada Allah SWT dan baginda memohon agar mereka dikurniakan hidayah. Jika kita letakkan diri kita pada situasi Rasulullah ini, apakah agaknya reaksi yang akan kita perlihatkan? Barangkali ada yang akan mengeluh, ada yang akan marah dan ada yang akan membalas dendam. Jauh sekali rasanya kita dapat besabar, apatah lagi untuk melafazkan perasaan syukur jika diuji sedemikain rupa.


TANYA DIRI KITA?
Jika ditanya kepada umat masa kini, adakah mustahil kita pamerkan akhlak Rasulullah SAW dalam peribadi dan tingkah laku kita?

Lantas ada yang akan menjawab, “Nabi tu maksum, tiada dosa. Manalah sama dengan kita!” atau ada yang akan menjawab, “Boleh kot.... err?”.

Di manakah silapnya ajaran yang Rasulullah tinggalkan buat kita? Jawabnya, “TIDAK ADA!”. Islam datang mengajar kepada kita dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara yang merangkumi segala aspek. Bukan untuk dunia sahaja, matlamat dunia akhirat turut diajar kepada kita. Siapakah yang silap sebenarnya?

Muslimin muslimat yang Allah rahmati sekalian,

Kita mengaku kita umat Nabi Muhammad SAW, tetapi kita tidak pernah pamerkan identiti sebagai umatnya. Jangan nanti di akhirat kelak, kita memberi salam kepada nabi, tidak pula disambut oleh baginda.

Malah dipersoalkannya kepada kita;

“Siapakah kamu?”, atau

“Adakah kamu dari umatku?”, atau

“Apakah yang kamu lakukan terhadap apa yang telah aku tinggalkan yakni Al-Quran dan As-Sunnah?”.

Nau’zubillah min zalik. Moga-moga kita tergolong dari umat Nabi Muhammad SAW yang beriman dan bertaqwa.


RASULULLAH MY HERO!
Sebagai seorang muslim, adalah suatu kewajiban buat kita untuk mengenal dan mencintai Rasulullah SAW. Mengenal dan mencintai Rasulullah SAW bererti kita menghidupkan sunnahtullah dan menjadikan baginda sebagi ikutan. Firman Allah SWT yang mafhumnya:

“Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku(Nabi Muhammad SAW), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.” (Ali Imran : ayat 31)

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Al-Ahzab : ayat 21)


KESIMPULAN
Akhirul kalam, saya mengharapkan agar sambutan Maulidur Rasul telah kita sambut pada hari Isnin lepas (9 MAC 2009), akan kita jadikan satu titik tolak untuk membuat perubahan di dalam diri kita. Jadilah seorang muslim yang mempunyai akhlak dan peribadi seperti Rasulullah SAW. Jika tidak dapat banyak sedikit pun alhamdulillah…

Sambutan Maulidur Rasul bukanlah sekadar membuat perarakan atau mengadakan majlis keraian seperti kelaziman yang di lakukan oleh masyarakat pada masa kini, tetapi seeloknya kita mengenang kembali sirah perjuangan nabi junjungan kita itu agar meresap ke dalam kalbu. Biar masak dengan akar budi dan harum melewati peribadi.

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL 1430 H!

Wallahua’lam...

Rujukan: FIQH AL-SIRAH 1 (MUHAMMAD SAI’D RAMADHAN AL-BUTHI) RIWAYAT HIDUP RASULULLAH SAW (ABDUL HASAN ALI AL-HASANY AN-NADWY) SEJARAH HIDUP NABI-NABI (H.SALIM BAHREISY)

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=