"Velentine’s day, anyone?” ...

“Valentine’s day is the lover’s day!”. Respon 1.
“Hari kekasihlah!”. Respon 2.
“Hari kekasih…”. Respon 3.
“Hari mengingati kekasih”. Respon 4.

"I love you...."...

Lihatlah bagaimana gambaran pemikiran respondan yang telah saya tanyakan tentang 'Valentine's Day'. Rata-rata melihatnya pada bahagian atas semata-mata tanpa menyelam lebih jauh ke dasarnya. Di manakah silapnya? Musuh Islam telah berjaya menjalankan dakyahnya kepada umat Islam...

DARI ‘A’: BELAJAR DARI KISAH SEJARAH
Paderi St. Valentino merupakan seorang paderi utama yang hidup pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dan merupakan antara orang terpenting yang menjatuhkan dan menzalimi umat Islam Cordovo, Sepanyol pada zaman lampau. Rasulullah SAW lahir tanggal 12 Rabiulawal manakala tarikh kejayaan St. Valentino dan konco-konconya menawan Cordova daripada umat Islam ialah pada 14 Februari.

Tetapi apa yang peliknya, terutama dikalangan umat Islam sendiri, tarikh 14 Februari dalam setiap tahun lebih senang diingati berbanding tarikh 12 Rabiulawal itu sendiri. Setiap tahun, 14 Februari diingati sebagai Hari Kekasih. Hari tersebut disambut dengan pelbagai cara dan di anggap hari yang paling istimewa terutama oleh pasangan kekasih. Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros, mengadakan jamuan makan malam yang disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga dan sebagainya. Jelasnya, hari tersebut merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih terutamanya untuk diraikan sebagai wasilah untuk menyatakan perasaan cinta mereka dalam bentuk sambutan.

BETUL ATAU SALAH?
Timbul persoalan dibenak penulis memikirkan hal mereka yang menyambutnya. Apakah mereka tahu mengapakah hari tersebut di angkat menjadi ‘Hari Memperingati Kekasih’? Jika ditanya kepada mereka yang meraikannya, ringkas sahaja jawapan yang mereka berikan iaitu ‘Hari Kekasih’. Hairan tambah lucu juga melihat bentuk-bentuk jawapan yang mereka berikan terhadap soalan ini. Lihat sahaja empat respon tadi. Inilah yang dikatakan perang psikologi oleh musuh Islam.

Ada pula yang berpendapat, Hari Memperingati Kekasih juga adalah untuk mengingati orang lain yang dikasihi selain daripada kekasih seperti ibu bapa dan sebagainya. Malah ada juga media elektronik yang mewujudkan satu program hiburan sempena Hari Valentines. Siapa sebenarnya orang yang bernama Valentines ini sehingga diangkat begitu agung sekali dan dikalangan umat Islam sendiri popularitinya melebihi Rasulullah SAW? Pensyarah Perbandingan Agama, Akademi Islam , Universiti Malaya, Khadijah Mohd. Hambali berkata , Valentine atau nama sebenarnya St. Valentino merupakan seorang pederi yang paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol.

Kedudukannya dikatakan di tempat ke dua selepas Pope. Kaitannya dengan Hari Valentines yang disambut oleh masyarakat dunia pada hari ini mempunyai dua versi:

VERSI I
Dia merupakan orang yang terpenting bagi Ratu Isabella yang berperanan menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap oleh Ratu Isabella sebagai amat besar sekali sehingga Valentino dianggap sebagi kekasih bagi rakyatnya sendiri. Jesteru, 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk meraikan kejayaan tersebut pada setiap tahun sekaligus sebagai mengenang dan memperingati jasa St. Valentino. Sehingga ke hari ini, peristiwa kemenangan St. Valentino tersebut, masih diingati oleh rakyat Cordova.

VERSI II
St. Valentino sebelum kejayaannya menawan Cordova, dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertamanya dikatakan beragama Islam manakala kekasih keduanya beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St, Valentino terpaksa membuat keputusan dengan melupakan kekasih pertamanya. Situasi ini terjadi apabila Ratu Isabella meminta bentuk ganjaran yang boleh dikurniakan olehnya sebagai ganjaran kepada St. Velentino berikutan kejayaannya mengalahkan umat Islam. St. Valentino terus menyatakan yang dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu. Hasrat St. Valentino tersebut menimbulkan kegemparan dikalangan rakyat Cordova, kerana St. Valentino merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, tambahan lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.

Ratu Isabella pula dikatakan murka dengan hasrat St. Valentino tersebut lantas memenjarakan paderinya itu buat sementara waktu. Walaubagaimanapun, baginda tetap mahu mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan 14 Februari sebagai ‘Hari Mengingati Kekasih’ yang ditujukan khas untuk St. Valentino.


BUKAN ISTIMEWA PUN...
Berdasarkan kedua-dua versi itu, apakah asas yang kukuh yang menjadi sebab untuk umat Islam sendiri menganggap Hari Valentines itu sebagai hari yang istimewa? Apakah mereka sebenarnya terikut-ikut akan budaya barat secara membuta tuli, sedangkan mereka tidak mengetahui sebab hari tersebut diangkat sebagai sebuah hari yang istimewa?

Jika ingin sekalipun mengingati kekasih atau orang-orang yang dikasihi atau orang-orang yang disayangi tidaklah semestinya disambut pada setiap 14 Februari setiap tahun. Sambutan boleh juga dijalankan pada setiap kali tibanya hari kelahiran orang-orang yang disayangi melalui acara-acara yang lebih diredhoi seperti mengadakan kenduri doa selamat atau sebagainya. Rasulullah SAW sepatutnya lebih diingati setiap tahun kerana Baginda merupakan manusia yang paling mencintai umatnya.

Sebagai seorang muslim tanyakanlah pada diri kita sendiri, apakah kita akan mencontohi begitu saja sesuatu yang jelas bukan bersumberkan dari Islam? Mari kita renungkan firman Allah ini mafhumnya:

“Dan janglah kamu megikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya”. (Surah Al-Isra : 36)

Kita TAHU atau TIDAK?!?
Dalam Islam, kata “tahu” bererti mengetahui dengan seluruh pancaindera yang dikuasai oleh hati. Pengetahuan yang sampai pada taraf mengangkat isi dan hakikat sebenarnya. Bukan hanya sekadar dapat melihat atau mendengar. Bukan pula sekadar tahu sejarah, tujuannya, apa, siapa, bila, bagaimana, dan di mana, akan tetapi lebih dari itu.

Oleh itu Islam amat melarang kita mengikut kepercayaan yang mendorong kepada suatu kepercayaan lain (taqlid). Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 85, mafhumnya:

“Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-sekali tidaklah diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”.

KESIMPULAN
Banyak sumber yang saya perolehi menerangkan tentang sejarah bagaimanakah ‘Hari Kekasih’ ini mula dijadikan sebagai hari yang perlu diingati. Walaupun dengan jalan cerita yang berbeza, namun terdapat satu persamaan yang ketara terhadap semua kisah tersebut. Kesemuanya merujuk kepada amalan oleh orang bukan Islam. Mudahnya sambutan tersebut BUKAN DARI ISLAM!

Sudah jelas ! Apapun alasannya, kita tidak dapat menerima budaya cedokkan daripada luar yang nyata bertentangan dengan keyakinan (akidah) kita. Janganlah kita mengotori akidah kita dengan dalih toleransi dan setia kawan terhadap perayaan yang bukan daripada Islam.

Sudah berapa jauhkah kita mengayunkan langkah memuja-muja Valentine’s Day? Sudah semestinya kita menyedari kesilapan kita sejak saat ini, agar jangan sampai terperosok lebih jauh lagi. Tidak perlu kita iri hati dan cemburu dengan upacara dan bentuk kasih sayang agama lain. Bukankah Allah itu Ar-Rahman (Maha Pengasih) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang). Tetapi yang jelas kasih sayang di dalam Islam lebih luas dari semua itu. Bahkan Islam itu merupakan 'alternatif' terakhir setelah manusia gagal dengan sistem-sistem lain.

Saya menyeru kepada semua kaum muslimin mahupun muslimat sekalian, sebarkanlah sedikit ilmu ini kepada rakan kita yang lain. Beramal berlandaskan Islam, bukan beramal berlandaskan fikiran. Wallahu’alam.

2 Responses so far.

  1. sadfer says:

    red roses 4 ur beloved one anytime, anywhere u like. Why 14?

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=