Rehlah Satu: Islamic Summer Camp 2009
Islamic Summer Camp 2009 yang menutup tirai pada 15 Disember 2009, berakhir dengan titisan air mata syahdu AJK dan peserta. Selesai sahaja laungan zikir Wehdah dibacakan, semua peserta dan AJK ISC’09 bersalam-salaman sebagai tanda perpisahan. Terasa sebak melihat reaksi para peserta yang memeluk erat para fasilitator dalam barisan perpisahan.

Walaupun ditaklifkan sebagai fasilitator, yakni sebagai ‘abang’ atau ‘kakak’ untuk memberi dan membimbing adik-adik peserta dalam modul pengisian, saya turut (secara tidak lansung) menerima dan dibimbing oleh adik-adik peserta. Baru saya sedar betapa terlalu banyak yang masih saya tidak ketahui. Umur tidak menggambarkan ilmu kita, kerana umur boleh melekakan kita.

Rehlah Dua: ‘Nadwah Kepimpinan’
Lama juga rasanya baru post ini dapat dizahirkan dari tarikh ISC’09 itu berakhir, bukan kerana kesibukkan atau ketandusan idea, tetapi seusai ISC’09 berakhir, saya terpaksa bergegas pula bertolak untuk mempersiapkan diri ke program ‘Nadwah Kepimpinan’ yang secara kebetulan bermula pada 15 Disember 2008. Dari jarak waktu dan masa yang ada, saya tidak berkesempatan untuk melayari internet hatta membuka komputer riba dengan lama. Program ini berakhir pada 17 Disember 2008, dan kali ini saya bertugas sebagai ajk makanan pula.

Program ini lansung memilih peserta yang aktif dalam Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) di kawasan masing-masing di kawasan pantai barat Sabah (dari pengamatan saya). Mereka ini adalah pelajar-pelajar sekolah menengah yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang teserlah dan tertonjol melalui beberapa siri aktiviti yang dianjurkan untuk ahli KRU sepanjang tahun 2008 mahupun program usrah. Tidak banyak yang boleh saya ceritakan tentang program ini kerana keterlibatan saya bersama peserta mahupun AJK yang lain adalah kurang sama sekali.

Rehlah Tiga: ‘Rehlah Islami’
Pada masa saya mengikuti program ‘Nadwah Kepimpinan’ tersebut, saya kena bersedia untuk menghadapi ‘Rehlah Islami’ yang ingin saya ikuti pada sehari selepas ‘Nadwah Kepimpinan’ berakhir. Membaca buku haraki, membuat kajian latar belakang tentang sejarah perkembangan gerakan Islam dan dihadamkan seperti yang pihak penganjur inginkan untuk rehlah tersebut memerlukan tumpuan yang serius. Sumbernya terbatas denganbacaan terhadap beberapa buah buku sahaja, tanpa dapat untuk mencari di dalam jaringan internet ditempat program. Jika ISC’09 dan ‘Nadwah Kepimpinan’ menuntut saya sebagai AJK atau Fasilitator, ‘Rehlah Islami’ ini pula saya yang akan menjadi pesertanya. Rehlah ini berlansung selama lima hari.

Berakhir sahaja rehlah ini, sekali lagi saya terfikir dan menyedari betapa terlalu banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari. Subhanallah...

PENGAJARAN: ILMU, IMAN, AMAL
Banyak perkara yang telah saya perolehi dari tiga pogram yang berlansung secara berturut-turut ini. Jika hendak dikongsikan melalui penulisan, barangkali tidak mencukupi untuk saya nukilkan. Barangkali yang mampu saya ceritakan bahkan hanya ‘kisah-kisah’ teladan dan pengajaran dari sekian pengalaman yang telah saya lewati tadi. Cuma satu sahaja yang boleh saya kongsikan di sini melalui sebuah puisi sebagai mengakhiri tulisan kali ini,

Masa tidak akan berhenti,
Sebelum nyawa dicabut pergi,
Teruskan mencari,
Ilmu di muka Bumi,
Selagi hati ini terisi,
Terisi dengan ilmu duniawi dan ukhrawi,
Sebagai bekalan menuju mati dan akhirat yang pasti,
Dengan amalan berpandu ilmu yang sejati,
Ilmu untuk berbakti...
KESIMPULAN
Saya bukan orang yang layak untuk menukilkan puisi lagak puitis syahdu meramas hati. Cuma barangkali ini hanyalah expresi dari sudut untuk berkongsi. Bersama kita terus mencari, mengkaji dan beramal dengan ilmu yang Allah telah anugerahi. Semuanya tidak datang bagai kertas melayang, atau bergolek seperti gelung rotan mahupun berhenti seperti teksi tidak berpenumpang apabila tangan melambai longlai.

Makan itu perlu untuk terus hidup. Jika perut perlu diisi, hati juga perlu dipenuhi. Nasi untuk perut, ilmu untuk hati rohani. Jika kedua-dua tidak diimbangi, takut hati mati, perut sakit tak terubati.

Wallahu’alam...

2 Responses so far.

  1. Subhanallah..kuatnya dia berprogram..pasni blk kampus msti kne lebih malatop kn..hehe

  2. Unknown says:

    InsyaAllah, mudahan tak tandus usaha dan kering masa ntuk manfaat bersama ISlam...

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=