KOBUNI
Menjadikan Kampung Kobuni sebagai tapak berlansungnya program, saya telah dijemput oleh ahli jawatankuasa (AJK) untuk menjadi salah seorang fasilitator kepada lebih 90 orang peserta. Program yang diberi nama ‘Islamic Summer Camp 2008’ atau ringkasnya ISC’08 telah menawarkan modul pengisian rohani sebagai modul utama disamping pengisian fizikal. Program yang telah direncanakan oleh Persatuan Siswazah Sabah (PSS) telah menghimpunkan anak jati Sabah yang telah atau sedang menuntut di institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) di dalam negara sebagai AJK utama.

Sebelum program berlansung pada 12-15 Disember 2008, semua AJK termasuk fasilitator-fasilitator yang dijemput telah berkumpul lebih awal pada 10 Disember 2008. Tujuannya adalah untuk menyediakan tapak program untuk menyambut adik-adik peserta. Peserta yang bakal mengikuti ISC’08 ini adalah terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah daripada sebelah pantai barat Sabah.

BENIH-BENIH ISLAM
Teruja rasanya menyambut peserta-peserta yang terpilih dari sekian pelajar yang dipilih dan ditapis. Merekalah anak jati Sabah yang bakal menambah bilangan ‘golongan atasan’ iaitu mereka yang menerima pendidikan tinggi di Sabah. Tambahan lagi mereka disiram dengan cahaya Islam untuk memekarkan dakwah dan islah di Sabah. Walaupun perjalanan mereka masih jauh untuk berdiri sama tinggi dengan ‘abang’ atau ‘kakak’ AJK program, namun kepercayaan yang ditanam untuk menyemai benih-benih pemimpin berminda Islam bermula dari sini.

SEBILAH MATA PARANG
Kepimpinan bukan lahir secara mutlak sebagai insan bernama manusia, sebaliknya perlu dicanai dengan asahan yang berterusan. Jika lahir sebilah parang, maka sehingga akhirnya bilah tersebut tetap dipanggil parang. Tetapi apakah sebilah parang itu berguna andai matanya tumpul dan berkarat? Setiap daripada mereka tersimpan benih kepimpinan yang mampu bercambah. Jika kita andaikan benih inilah sebilah parang itu, maka kita perlu didik mereka agar parang yang mereka miliki itu sentiasa terasah untuk bersedia berjuang. Berjuang di landasan dan pihak yang betul, dan bukannya menghala parang pada salah orang.

BENAR?
Tarbiah mewacanakan sahsiah untuk bergerak berani dimedan kebenaran. Pahit itu manis kerana membawa kemulian kepada semua orang. Membela yang berhak kerana dizalimi oleh manusia yang dipandu oleh nafsu atau syaitan. Keras benar bunyinya, tetapi itulah kebenaran yang senang dilontar dari hati ke mulut, tetapi sukar dilepas dari perkataan ke perbuatan. Jadi untuk merasa bagaimanakah pahit itu adalah manis, maka perlu adanya pengorbanan dan pengorbanan itu perlu bermula dari mula iaitu ketika USIA MUDA...

Sekadar perkongsian bersama...

Wallahu’alam...

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=