KHALIFAH
Akal fikiran merupakan anugerah Allah SWT yang paling utama kepada manusia, kriteria terpenting yang membezakan mereka daripada makhluk selainnya. Akal adalah neraca dalam menentukan kebaikan dan keburukan. Keistimewaan inilah yang menyebabkan manusia dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah Allah SWT yang tidak mampu dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang. Dengan panduan wahyu daripada Allah SWT, manusia telah diamanahkan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Kebahagiaan dan kesengsaraan abadi manusia di hari akhirat turut ditentukan oleh penilaian dan kebijaksanaan akalnya. Pengakuan yang dikemukakan oleh penghuni neraka begitu jelas menggambarkan realiti ini.

“Mereka berkata: Jika kami mendengar dan berfikir nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka”
(Surah al-Mulk, ayat 10)

Demikian juga konsep taklif (tanggungjawab) dalam Islam yang menitikberatkan tentang akal apabila hanya golongan yang berakal sahaja yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan sesuatu ibadah kepada Allah SWT, sedangkan mereka yang tidak berakal dikecualikan.

PUJIAN DAN CELAAN
Menerusi akal, manusia berpeluang meningkatkan pencapaian dirinya sama ada untuk kehidupan dunia ataupun bekalan di hari akhirat.


Merujuk kepada perantara langsung di antara Allah SWT dan hamba-Nya iaitu al-Quran, kita dapati akal merupakan asas kepada penghujahan Allah SWT ke atas makhlukNya. Jika diteliti ayat al-Quran, terdapat begitu banyak yang memperkatakan tentang penggunaan akal seperti ta'qilun, tafakkarun dan tadabbarun. Pujian diberikan kepada mereka yang menggunakan akal yang membawa kepada keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT, manakala celaan pula ditujukan kepada mereka yang mengabaikan proses penggunaan akal tersebut menuju kebenaran dan keimanan. Al-Quran memberikan kedudukan yang istimewa kepada akal. Islam menjadikan berfikir sebagai satu kemestian ke atas semua manusia. Berfikir dianggap sebagai bentuk ibadah yang tertinggi. Perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT yang mafhumnya:

“Mereka yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan tidur serta berfikir pada kejadian langit dan bumi (lalu berkata) Tuhan kami sesungguhnya Engkau tidak jadikan semua ini sebagai satu kebatilan, maha suci Engkau. Maka lindungilah kami daripada azab neraka” (Surah al-Imran, ayat 190)

ADVENTURE DI ALAM MAYA
Demikian juga kita dapat melihat pandangan Islam yang begitu tinggi terhadap penggunaan akal fikiran yang membawa kepada perkembangan sains dan teknologi. Pemikiran ini seterusnya membawa kepada keyakinan tentang kewujudan dan keagungan Allah SWT. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah SWT, mafhumnya:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, perubahan malam dan siang serta kapal yang belayar di lautan membawa perkara yang memberi faedah kepada manusia, dan apa yang diturunkan Allah SWT dari langit dari air lalu dihidupkan dengannya bumi yang gersang dan menyebarkan padanya setiap kehidupan, melalukan angin dan awan yang ditundukkan di antara langit dan bumi, itu semua merupakan tanda (kekuasaan Allah SWT) bagi mereka yang berfikir.” (Surah al-Baqarah, ayat 164)

Ayat ini menunjukkan hubungan yang rapat di antara kandungan alam maya dengan Allah SWT. Setelah menceritakan tentang realiti yang dapat dilihat di sekitar manusia dari langit, bumi, siang, malam dan perjalanan kapal di tengah lautan bergelora, kejadian hujan dan sebagainya yang perlu dikaji dan diselidiki oleh umat Islam untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia, Allah SWT mengakhiri ayat tersebut dengan menyatakan semua perkara itu adalah tanda bagi orang yang menggunakan fikirannya. Dengan erti kata yang lain, sebagai perantara untuk manusia mengakui kewujudan Allah SWT dan keagunganNya sebagai pencipta dan pentadbir alam ini.

Gunakalah akal kita ini sebaik-baik mungkin. Penuhilah tuntutannya. Janganlah jadi orang yang zalim. Semoga kita sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Maha Suci Allah yang mengurniakan kita akal untuk berfikir. Subhanallah.

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=