SEKADAR UNGKAPAN?
Ungkapan “Minal ‘Aideen wal Faaizeen” . Bukan sahaja ungkapannya di dalam Bahasa Arab, malah maknanya juga penulis pasti tidak mudah difahami sekadar dengan menyebutnya di atas lidah. Fahamkah artis-artis yang beraya lebih awal dari kita itu akan maksud ungkapan tersebut? Maksud penulis, mereka merakam program Hari Raya ketika kita masih bertatih puasa. Fahamkah mereka yang melakar kata-kata ini pada sebahagian 160 karakter sms Aidilfitri, atau kad raya itu sendiri?

Atau ia sekadar ungkapan tanpa makna. Sebagaimana lafaz Assalamualaikum yang gersang dari rasa sebuah doa, atau Insya Allah yang hanya kosmetik untuk cadangan memungkiri janji?

Fenomena kata-kata tanpa makna ini memang sudah lama wujud, sudah lama berlaku. Kerana itulah agaknya, Hasan al-Banna sering memulakan ceramahnya dengan menyebut:

“Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh”

ADAT DAN IBADAT
Dua-dua boleh jadi manfaat. Satu sekadar mengemas dunia, satu lagi memanjang ke Akhirat. Namun, usahakanlah agar adat itu dibuat dengan sedar akan matlamat, diangkat dari suatu kebiasaan kepada suatu jalan merapati diri kepada Tuhan. Adat harus dibuat dengan ‘kesedaran hidup berTuhan”, agar adat menjadi ibadat.

Manakala ibadat pula, biar pun melakukannya adalah rutin harian dan kelaziman, janganlah pula sampai dibuat secara auto pilot. Lupa matlamat, terabaikan tujuan. Maka untuk ibadat tidak menjadi adat, buat sesuatu biar dalam keadaan sedar. Sedar akan matlamat, sedar akan asal usulnya perbuatan itu.

Lantas ungkapan-ungkapan Islam yang indah dan molek itu, jangan lagi terungkap tanpa makna, dek kerana terlalu biasa. Berulang kali menyebutnya, hingga terlupa kepada makna.

UNGKAPAN MINAL ‘AIDEEN WAL FAAIZEEN
Ungkapan minal ‘aideen wal faaizeen itu adalah suatu ungkapan yang besar. Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan kita memenuhi tuntutan Ramadhan, melepasi proses Tarbiyahnya dan akhirnya, kita melambai senja Ramadhan yang menyinsing dengan suatu diri yang tinggi. Tinggi kerana kita telah menundukkan nafsu.

Nafsu itu seperti api. Kecil-kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan. Manusia terhijab dari melihat kebesaran Allah, apabila nafsu terbiar mengganas jadi ammarah. Nafsu yang menipu kita bahawa kita sepatutnya makan lebih dari yang sepatutnya. Nafsu juga menyebabkan kita bercakap lagha (sia-sia), bercakap lucah, mengamuk dan marah-marah, malah bergaduh dan bertelagah.

Semua itulah yang diajar Ramadhan agar kita mengatasinya. Kawal diri supaya jangan dikawal nafsu. Bila nafsu diajar mengenal batas sempadan, baru diri mengikut piawaian. Dan piawaian itulah apa yang dinamakan sebagai fitrah.
Ramadhan melatih manusia menundukkan nafsu, agar dirinya kembali kepada piawaian, kembali kepada Fitrah. Mereka inilah golongan ‘Aaiden’ golongan yang pulang, kembali kepada Fitrah.

MEREKA ITULAH GOLONGAN BERJAYA
Mereka yang berjaya menyerlahkan kembali Fitrah diri yang selama ini terkurung di perangkap nafsu dan kejahilan, mereka inilah golongan yang sukses. Golongan berjaya iaitu golongan Faa’izeen!

“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu” (Surah Asy-Syams, ayat 9)

Golongan ini berjaya mengawal dirinya, lantas tidak lagi dikawal oleh dorongan nafsu. Dia sudah merdeka dengan kemerdekaan yang hakiki. Mereka inilah golongan yang berjaya. Golongan al-Faa’izeen yang kita sebutkan.

CERMIN DIRI
Maka cerminlah keadaan diri kita semua. Apakah kita telah kembali kepada fitrah diri yang sebenar selepas Ramadhan ini? Seandainya tidak, ungkapan-ungkapan itu hanyalah sebagai satu ejeken. Mengejek diri sendiri yang jelek, kerana menyarungkan pakaian sutera, pada ‘tunggul manusia’ yang tiada harga. Moga benar-benar kita ini kembali kepada fitrah, sebelum kita kembali kepada Allah. Kerana itu sahajalah erti Fa’izeen, erti yang sesungguhnya.

SET PELENGKAP
Sepertimana kelaziman atau kebiasaan, satu set baju melayu versi ‘Raya’, datang lengkap dengan songkok hitam dengan samping songketnya. Mahupun baju kurung dengan keronsang menyilau dan selendangnya. Tanpa songkok atau samping dan tanpa keronsang atau selendang, baju melayu atau baju kurung tetap menjadi pilihan dek kerana menjadi adat dan simbol berhari raya. Barulah selepas itu diikuti pula dengan pakaian serbaneka fesyen dan gaya, semuanya baru-baru belaka.

Apa perkaitanya? Baju raya satu kewajiban yakni sebagai pakaian, yang selebihnya adalah aksesori tambahan. Begitu juga analoginya puasa Ramadhan, satu kewajiban. Datang selepasnya Syawal, digalakan pula kita untuk menunaikan puasa enam sebagai aksesori tambahan. Tidak ‘digunakan’ tidak menjadi satu kesalahan, tatapi kalau ‘digayakan’ tampak lebih menarik dan menawan.

AKSESORI TAMBAHAN
Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan dengan berturut-turut atau berselang-selang sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas Hari Raya Aidilfitri. Puasa enam itu sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah haram melakukan puasa enam kecuali setelah selesai mengqada puasanya.

Namun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadhan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh.

Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam itu. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Manakala ulama mutaakhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdhal.


KESIMPULAN
Penulis mengharapkan agar Syawal kali ini membawa satu pengertian baru dalam diri kita selepas sebulan berada di dalam markas tarbiah Ramadhan. Semoga hasil nukilan yang penulis kongsikan kepada kalian mampu memberi sedikit ruang untuk kita membuat sedikit anjakan paradigma betapa pentingnya untuk kita memahami peri lafaz lisan kita. Tidak kira di mana jua kita berada, terdiri daripada bangsa apa, mahupun keturunan mulia atau hina, jika sudah mengaku sebagai Islam, hanya satu sahaja tempat yang kita semua idam-idamkan, SYURGA!


Salam takziah juga penulis zahirkan buat sahabat-sahabat sekalian yang telah kehilangan ahli keluarga atau saudara mara terdekat mahupun rakan taulan. Jadikan pemergian mereka sebagai peringatan buat kita bahawa ajal dan maut tidak mengenal waktu dan usia. Tika kita bergembira atau berduka, menangis dan gelak ketawa. Bila sampai waktunya, malaikat maut akan menjemput kita. Iringi mereka dengan sedekah doa kita, agar mereka tenang di alam mereka.


Penulis juga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua pembaca yang budiman sekalian.

Akhirul kalam, setiap perbuatan baik itu adalah ibadah, jika kita niatkan kerana Allah. Wallahu’alam.

sumber SAIFULISLAM.COM

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=