“Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah, dan sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Al-Anfal, Ayat 10)

Penulis merasakan apabila berada di alam kampus, terdapat dua perjuangan utama yang mahasiswa Islam akan hadapi. Pertamanya adalah perjuangan menuntut kejayaan di dalam akademik, dan yang keduanya perjuangan menuntut hak Islam pada tempatnya. Di antara kedua-dua perjuangan ini, hanya segelintir sahaja yang sedar, manakala yang selebihnya tertumpu pada matlamat perjuangan yang pertama sahaja. Anda bagaimana?

LAPAR DENGAN USAHA UNTUK MENDAPAT NIKMAT KENYANG
Perlu kita sedar dengan akal yang waras, janganlah terlalu leka dengan janji yang Allah SWT berikan tanpa ada usaha atau tindakan yang kita ambil untuk mencapai janjiNYA. Tidak boleh dengan hanya berserah diri. Berserah diri kepada Allah (bertawakal) hanya layak kepada muslim yang telah berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban di jalanNYA. Kita faham bahawa sudah menjadi sunnahtullah bahawa Allah akan makbulkan permintaan sesiapa sahaja yang meminta kepadaNya terutama orang-orang yang beriman dengan sebab musabab. Contohnya cukup mudah, kalau kita lapar, kita mestilah makan untuk mengenyangkan perut kita.

Tidak ada makanan yang masuk ke dalam mulut kita tanpa disuap, dikunyah dan ditelan. Semuanya perlu kepada usaha makan (ambil makanan, masukkan ke dalam mulut, kunyah dan telan) sehingga kenyang. Untuk mendapat pertolongan daripada Allah SWT merupakan suatu perkara yang mudah sekiranya kita tahu bagaimana dan memenuhi beberapa ciri yang menyebabkan pertolongan Allah itu datang menemui kita. Ciri-ciri tersebut telah nyata dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Qur’an.

LIDAH DENGAN HATI BERGANDINGAN
Pertama: untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah SWT, umat Islam mestilah mempunyai keimanan yang kuat terbenam dihati dan bukannya sekadar ucapan lidah. Iman yang kuat adalah suatu keperluan kerana dengan keimanan barulah seseorang dapat meyakini bahawa setiap musibah yang berlaku adalah ujian daripada Allah. Manusia yang mengaku beriman pasti akan diuji.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman” sedang mereka tidak diuji” (Surah Al-Ankabut, Ayat 22)

Keimanan jugalah yang akan menjadikan manusia itu lebih bersabar dan mengharapkan bantuan hanya daripada Allah SWT semata-mata. Kesabaran merupakan pantulan keimanan yang kuat. Semakin kuat iman seorang muslim semakin kuat jugalah kesabarannya. Jadi, orang yang beriman perlu menerima bahawa ujian dan musibah yang menimpa umat Islam merupakan suatu ujian dari Allah yang bertujuan untuk menguji keimanan mereka.

DARI HITAM KEPADA PUTIH
Kedua: Perlu kepada HIJRAH. Hijrah merupakan syiar Islam. Hijrah yang dimaksudkan di sini ialah hijrah dari kemaksiatan, kemungkaran, dan kefasikan (mengaku beriman tetapi malu untuk mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian) kepada aqidah keimanan yang kental. Sekiranya, seseorang individu itu belum mengamalkan Islam secara keseluruhannya dalam kehidupan, maka dia perlu berbuat demikian secara beransur-ansur. Meletakkan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai panduan hidup kita serta usaha mendekatkan diri kepada Allah dengan sebenar-sebenarnya.

Hijrah secara mudahnya bermakna kita meletakan perubahan pada diri kita darpada keburukan kepada kebaikan. Banyak perubahan yang boleh kita lakukan pada diri kita. Lakukanlah dengan istiqamah mudah-mudahan pertolonan Allah SWT itu sampai kepada kita.

MENEGAKKAN KALIMAH ALLAH!
Ketiga: Jihad Fi Sabilillah (pada jalan Allah). Niat perjuangan yang hendak dilakukan mestilah kerana Allah semata-mata dan jihad tersebut adalah untuk menegakkan agama Allah. Tidak boleh berjuang untuk memartabatkan sesuatu bangsa, suku, keturunan, darjat atau pangkat. Perjuangan untuk menegakkan semua itu adalah sia-sia. Perjuangan menegakkan agama Allah pasti akan mendapat pertolongan daripada Allah. Sebagai seorang pelajar, kita sebenarnya berada di jalan fisabilillah .

Firman Allah SWT, mafhumnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu. ” (Surah Muhammad, Ayat 47)

Dan lagi firman Allah SWT, mafhumnya:

“Wahai orang-orang yang beriman. Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibn Maryam ketika ia berkata kepada penyokong-penyokongnya: “ Siapakah penolong-penoloongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Penyokong-penyokong Nabi Isa menjawa, “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah.”
(Surah As- Saff, Ayat 14)

BERUSAHA TETAPI TIDAK BERJAYA
Satu penyakit yang selalu menimpa mahasiswa zaman sekarang adalah sukanya mereka kepada perbuatan mengeluh. Sifat ini adalah fitrah manusia yang tidak dapat dielakkan. Namun kita perlu beringat satu keluhan boleh membuatkan usaha yang kita berikan untuk mendapatkan sesuatu terus hilang nilainya di sisi Allah SWT. Jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran, elakkanlah daripada mengeluh atau mempersoalkan usaha kita itu seperti; “Tidak cukupkah usaha aku selama ini?”, “Payah sangatkah nak dapat A nie?”, “Rajin lebih tak dapat, jadi malas pun tak dapat. Macam mana baru nak dapat?”. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Cepat-cepatlah kita beristighfar apabila kita mengeluh dengan usaha kita itu.

Rasulullah SAW tidak pernah mengeluh apabila usahanya untuk melihat seluruh umat yang diserunya memeluk agama Islam. Sebaliknya apa yang Rasulullah SAW lakukan adalah memohon pertolongan daripada Allah SWT untuk mengurniakan hidayah kepada mereka. Di baling dengan batu, di baling dengan najis, di caci, di maki dan ancaman bunuh tidak pernah mematahkan semangat dan usaha Rasulullah SAW untuk berdakwah kepada umat manusia ketika hidupnya. Usaha kita bagaimana? Allah hanya menguji kita dengan seringan-ringan ujian seperti asignment hilang, markah rendah dalam midterm dan sebagainya. Maka dengan perkataan seperti “haaah~”, (bunyi seperti mengeluh) usaha kita menjadi tidak berrnilai di sisi Allah SWT, kerana perbuatan mengeluh umpama kita tidak lagi mempercayai kuasa Allah SWT.

KITA MERANCANG, ALLAH TURUT MERANCANG
Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian, tanamlah di dalam hati kita akan kejayaan yang kita inginkan untuk masa hadapan. Bukan sahaja untuk dunia, tetapi kejayaan di akhirat juga. Kita merancang, Allah juga merancang, tetapi sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah SWT. Barangkali usaha kita itu sebenarnya sudah layak untuk kita menerima keputusan yang cukup cemerlang. Namun Allah tidak lagi mengurniakan kepada kita kejayaan seperti yang kita idamkan. Mungkin jika Allah SWT kurniakan kejayaan seperti itu menjadikan kita lupa diri, sombong dan takbur bukan sahaja kepada manusia lain, tetapi kepada Allah SWT juga, maka Allah takdirkan agar kita tidak berjaya pada hari ini sebagai langkah untuk menyelamatkan hati kita di kemudian hari. Lihatlah betapa Allah SWT Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana, begitu indah perancangannya untuk kita.

Sesungguhnya, hamba yang redha kepada ketentuan Allah SWT itu begitu tinggi kedudukannya di sisiNya (bersyukur). Allah tidak campakkan kejayaan kepada kita hari ini, tetapi diberikannya di akhirat kelak. Nilai kejayaan yang manakah lebih besar nilainya? Jika Allah kurniakan kejayaan buat kita di dunia dan akhirat, doalah penyebabnya selain daripada usaha kita untuk mengecapi kejayaan itu. Berdoalah selalu semoga Allah makbulkan doa kita. Kemudian tambahkan usaha kita ke arah kejayaaan.

RENUNGAN BERSAMA

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sunguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)

Berusaha ke arah kejayaan adalah satu perjuangan. Jika kita mudah putus asa, usaha kita adalah sia-sia. Maka kita telah membazir masa dan tenaga.

SELAMAT BERJUANG! YAKIN BOLEH!
Perjuangan pertama amat susah bagi yang merasakan payah, perjuangan kedua amat panjang penuh dengan liku dan perjuangan. Menuntut kejayaan adalah matlamat akhirnya, namun perlu dibayar dengan pengorbanan...

Berdoalah selalu mohon dipermudahkan jalan dan urusan, tingkatkan usahamu untuk mencapai impian, carilah jalan dan ikhtiar agar usaha berkekalan, dan bertawakkal kepada Allah SWT di atas segala ketentuan.

Setiap perbuatan baik adalah ibadah, jika kita sandarkan kepada Allah. Wallahua’lam...

Leave a Reply

Bahasa jiwa bangsa. Komenlah dengan berhikmah! C=